Raikan Hari Wanita dengan semangat capai kesaksamaan gender

Admin

PADA 8 Mac 2018, sambutan Hari Wanita Sedunia peringkat Negeri Pulau Pinang telah dirasmikan oleh YABhg. Toh Puan Dato’ Seri Utama Hajah Majimor binti Shariff, isteri Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang di Dewan Sri Pinang.

Sambutan Hari Wanita Sedunia peringkat Negeri Pulau Pinang dipengerusikan oleh YB Chong Eng, EXCO Belia & Sukan dan Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti, dan dianjurkan bersama Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang, PWDC.

Sebagai persiapan kepada acara ini, Dewan Sri Pinang telah dihiasi dengan kain yang berwarna ungu di dalam dan di luar bangunan tersebut. Ini kerana tema Hari Wanita Sedunia 2018 untuk negeri Pulau Pinang ialah ‘Penang for Purple’.

Warna ungu melambangkan keadilan dan ketinggian martabat untuk semua wanita. Suasana ini bertambah menarik apabila para peserta yang datang juga memakai pakaian dan aksesori yang berwarna ungu.

Boleh dikatakan keseluruahan dewan telah ditenggelami dengan lautan ungu, yang mana kain rentang berwarna ungu, bendera dan banting ungu menghiasi sepanjang laluan bahagian dalam dan luar kawasan pameran pada 8 Mac berkenaan.

Seawal jam 7.15 pagi, ruang pameran telah menjadi tumpuan aktiviti dan mereka yang terlibat dengan pameran sibuk menyiapkan susunan meja dan peralatan serta bahanbahan yang bakal dipamerkan.

Pada jam 8 pagi, aturcara majlis telah bermula dengan kuanter pendaftaran telah dibuka untuk memboleh para hadirin mendaftar dan mengambil beg cenderahati mereka yang berwarna ungu.

Suasana ceria dengan suara gelak ketawa para hadirin yang berjalan memasuki dewan sementara menunggu ketibaan para tetamu kenamaan.

Sewaktu ketibaan YABhg. Toh Puan, semua hadirin telah berada di dalam Dewan. Tanpa membuang masa, YB Chong Eng telah menyampaikan ucapan pembukaan.

Ini diikuti dengan ucapan perasmian yang disampaikan oleh YABhg. Toh Puan dan gimik perasmian. Dalam ucapannya, YB Chong Eng telah menekankan kepentingan peranan wanita dalam masyarakat.

Kaum wanita kini telah menceburi bidangbidang di luar bidang tradisi, sebaliknya mereka menceburi bidang-bidang yang lebih mencabar mental dan fizikal seperti pasukan keselamatan, berteknologi atau STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik) .

Walaupun banyak wanita telah terlibat dalam bidang baru dan di luar daripada peranan kebiasaan, namun data semasa masih menunjukkan tidak ramai wanita terlibat dalam kumpulan pembuat keputusan.

Oleh itu, tema Hari Wanita Sedunia tahun ini menyeru kaum wanita terus memacu ke arah kemajuan. Tambah beliau lagi, jika kita melihat penglibatan wanita dalam bidang politik kebangsaan, jurang antara jantina masih lagi terlalu luas.

Dalam laporan “Inter-Parliamentary Union” menunjukkan Malaysia berada pada kedudukan 155 daripada 192 negara yang mempunyai perwakilan parlimen dari kalangan wanita.

Dalam Dewan Rakyat hari ini, cuma 24 daripada 222 ahli Dewan Rakyat atau 10.8 peratus adalah wanita. Penyertaan wanita dalam politik kebangsaan perlu diperkukuhkan untuk memastikan hak-hak, isu-isu dan kepentingan wanita dipelihara.

Mereka juga dapat memastikan dasar-dasar yang memanfaatkan kaum wanita digubalkan oleh kerajaan agar mereka tidak terpinggir dalam arus pembangunan. Dalam ucapan YABhg.

Toh Puan pula, beliau mengingatkan hadirin bahawa Hari Wanita Sedunia yang merupakan acara tahunan seluruh dunia diraikan bukan sahaja untuk menimbulkan kesedaran tentang peranan wanita tetapi juga menobatkan kejayaan dan pengorbanan wanita di seluruh dunia dalam pelbagai bidang.

Masyarakat kita hari ini mungkin tidak boleh mencapai kemajuan yang pesat tanpa penglibatan wanita yang semakin berkaliber dan berilmu. Oleh itu, peranan dan sumbangan wanita tidak harus dipandang remeh.

Beliau menegaskan bahawa kita menghargai peranan wanita sebagai suri rumah tangga kerana kerjanya tidak dapat dihitung dengan wang ringgit.

Ini kerana mereka merupakan “glu” atau pelekat yang membawa semua ahli keluarga bersama.

Dengan sifat ini, mereka mampu memelihara, melindungi dan membawa kebahagiaan kepada keluarga. Wanita terutamanya ibu yang bukan sahaja menjadi tempat anakanak menagih kasih tetapi juga menjadi inpirasi seluruh keluarga.

Seterusnya, beliau menyeru semua pihak meraikan Hari Wanita Sedunia 2018 dengan semangat dan komitmen untuk melihat kesaksamaan gender tercapai.

Selepas ucapan, YABhg. Toh Puan melawat tempat-tempat pameran, sementara itu para hadirin disajikan dengan program Bicara Perdana oleh empat panel yang berbeza latarbelakang iaitu: YB Hannah Yeoh, Boonsiri Somchit, Yasmin Rasyid dan Jery Yeoh.

Acara tersebut diakhiri dengan tepukan gemuruh dan penuh bersemangat kepada para panelis yang telah berkongsi idea dan ucapan yang sangat menarik.