Rakaman video sangkal dakwaan peniaga OKU dikasari

Oleh: NORSHAHIDA YUSOFF

GEORGE TOWN – Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) menyangkal dakwaan bahawa pegawainya telah mengasari dan membuli dua penjual tanpa lesen dengan salah seorang daripadanya adalah orang kurang upaya (OKU) semasa menjalankan operasi penguatkuasaan bulan lalu di sini.

Pada masa sama, MPPP turut menyangkal dakwaan yang turut menyatakan bahawa pihak berkuasa tempatan (PBT) terbabit juga merampas 200 barangan milik OKU berkenaan dan hanya mengembalikan sejumlah 108 barangan dalam keadaan rosak.

Ahli Majlis MPPP, Ong Ah Teong menegaskan bahawa semua barangan yang dirampas masih dalam simpanan MPPP. “Ini merupakan satu kenyataan dan tuduhan palsu dan tidak bertanggungjawab.

“Butiran terperinci barangan yang dirampas masih dalam simpanan kita (MPPP), malah tiada sebarang pembayaran dibuat untuk menuntut semula barangan- barangan tersebut.

“MPPP memberi jaminan bahawa para pegawai bertugas sama sekali tidak mengasari penjual tersebut secara lisan, sebaliknya, semasa kejadian, mereka (penguatkuasa MPPP) memberi masa dan membenarkan beliau (penjual OKU) serta pembantunya memuatkan kembali
kebanyakan barang perniagaan ke dalam van milik mereka,” jelasnya pada sidang media berhubung dakwaan berkenaan di sini baru- baru ini.

Pada 26 September lalu, Nasib Presiden Persatuan Hindu Pulau Pinang, M. Murugiah bersama- sama dengan salah seorang peniaga (OKU) dikenali, G. Munisvaran yang didakwa dibuli pihak penguatkuasa telah mengadakan sidang media bagi menyelar tindakan MPPP.

Pada sidang media berkaitan, MPPP didakwa merampas 200 barangan milik Munisvaran dan hanya 108 barangan dikembalikan dalam keadaan rosak.

Mengulas lanjut, Ah Teong kemudian menunjukkan rakaman video operasi penguatkuasaan bagi membuktikan kenyataan beliau dan menyangkal dakwaan terhadap MPPP. Menurut beliau, mengikut rekod, perniagaan di Solok Sungai Pinang yang dimilki Munisvaran tidak mempunyai lesen.

“Kita banyak menerima aduan daripada penduduk sekitar berhubung perniagaan tanpa lesen yang dijalankan hingga menyebabkan kesesakan.

 “Kami memahami keadaan beliau sebagai seorang OKU, tetapi, undang-undang tidak boleh didiskriminasi.Harap beliau berniaga secara sah dengan memohon lesen pada masa depan,” tegas Ah Teong.