Rakyat perlu terlibat sama asingkan sisa di punca

Admin

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI

Gambar : SHUM JIAN-WEI

SUNGAI PINANG – Bermula 1 Jun 2017, Kerajaan Negeri menetapkan untuk menguatkuasakan Dasar Pengasingan Sisa Di Punca bagi seluruh negeri Pulau Pinang secara mandatori.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng ketika mengumumkannya berkata, pengasingan sisa di punca mula diperkenalkan tahun lalu dan menetapkan tempoh setahun selepas itu bagi memberikan pendidikan kepada umum sebelum menguatkuasakannya.

“Sebelum ini, pelbagai inisiatif hijau telah dilaksanakan, namun, dengan penguatkuasaan suatu dasar, diharap rakyat negeri ini lebih peka demi menjamin kesejahteraan masa depan rakyat dan negeri Pulau Pinang.

“Apabila kita (Kerajaan Negeri) melaksanakan Dasar Pengasingan Sisa Di Punca, ia bukan sahaja dapat mengurangkan penjanaan sisa ke tapak pelupusan sampah di Pulau Burong, malah memanjangkan tempoh hayat tapak berkenaan.

“Selain itu, pastinya kita juga dapat menjaga keseimbangan ekosistem sekaligus mengurangkan kos pengurusan sisa,” ujarnya ketika hadir pada Majlis Pelancaran Program Pengasingan Sisa Di Punca bagi Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Sungai Pinang dekat sini, baru-baru ini.

Difahamkan, Kerajaan Negeri menerusi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) masing-masing memperuntukkan RM94.27 juta dan RM101.73 juta bagi pengurusan sisa dan pembersihan awam di kawasan pentadbiran masing-masing.

Selain itu, bermula 1 Jun 2016 hingga akhir tahun 2016, MBPP dapat menjimatkan perbelanjaan sebanyak RM1.59 juta, manakala MPSP (RM729,999) menjadikan keseluruhan penjimatan RM2.38 juta.

Mengulas lanjut, Guan Eng yakin sekiranya dasar tersebut dilaksanakan secara menyeluruh dan rakyat Pulau Pinang turut sama menjayakan Dasar Pengasingan Sisa Di Punca, Kerajaan Negeri melalui kedua-dua pihak berkuasa tempatan (PBT) itu dapat menjimatkan sehingga RM10 juta.

“Hal ini (penjimatan RM10 juta) tidak mustahil, yang penting rakyat bersama-sama kita (Kerajaan Negeri) menjayakannya.

“Oleh itu, saya ingin menyeru agar kita semua melibatkan diri dalam program-program pengasingan sisa yang diadakan mulai hari ini demi kesejahteraan dan kelestarian masa hadapan semua…bukan sekadar penguatkuasaan sahaja,” serunya yang turut meluangkan masa menyampaikan hadiah dan penghargaan kepada agensi terlibat dalam program berkaitan.

Turut berucap, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pinang, Lim Siew Khim dan Ahli Parlimen Jelutong, Jeff Ooi Chuan Aun.

Setiausaha Bandaraya, MBPP, Ar. Yew Tung Seang, barisan Ahli-ahli Majlis MBPP serta wakil-wakil badan pengurusan dan pengurusan bersama (MC/JMB) Bandar Sri Pinang juga hadir menyerikan program yang bermula seawal 7 pagi berkenaan.