Rakyat rasai hasil penjimatan, peningkatan hasil negeri

DATUK KERAMAT – Sejak 2010 hingga 2017, Kerajaan Negeri Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang membelanjakan sejumlah RM216 juta bagi pelaksanaan beberapa Program Emas di negeri ini.

Antara program-program Emas terbabit ialah Warga Emas, ibu tunggal, orang kurang upaya (OKU), Pelajar Emas, Anak Emas, Ibu Emas serta bayaran khairat kematian.

Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo berkata, daripada jumlah tersebut, seramai 1,783,242 juta rakyat Pulau Pinang telah menerima manfaat daripada pelaksanaan program berkaitan di negeri ini.

“Daripada penjimatan dan peningkatan hasil yang diperoleh sejak Kerajaan Negeri mengambil alih pentadbiran pada tahun 2008, kita (Kerajaan Negeri Pakatan Harapan) mampu menyalurkan kembali wang ini kepada rakyat.

“Program-program Emas ini adalah teras pentadbiran negeri Pulau Pinang,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat pada Majlis Penyampaian Sumbangan Program Pelajar Emas Kerajaan Negeri Pulau Pinang di sini baru-baru ini.

Majlis tersebut menyaksikan pemberian wang RM100 kepada 13 pelajar dari Wisma Yatim Perempuan Islam Pulau Pinang (WYPIPP) dan Ramakrishna Ashrama (15).

Hadir sama, Yang di-Pertua Persekutuan Kebajikan Anak-anak Yatim Islam Pulau Pinang, Tan Sri Datuk Seri Mohd. Yussof Latiff.

Pada majlis tersebut, Jagdeep turut menyatakan komitmen beliau untuk terus menyalurkan bantuan terhadap keperluan kedua-dua persatuan kebajikan berkenaan yang terletak di dalam Kawasan Dewan Undangan Negerinya (KADUN).

“Saya akan terus memberikan peruntukan dan memudah cara apa sahaja keperluan yang boleh selagi mampu. Malah, saya berniat untuk menjadi bapa angkat kepada kedua-dua wisma yatim ini,” jelas beliau.