Rampas papan tanda haram, tidak ikut garis panduan sahaja, respons MBPP

Admin

PADANG KOTA – Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) baru-baru ini merampas lima papan tanda komersial yang dikenal pasti tidak berlesen serta tidak mengikut garis panduan tapak warisan George Town, manakala sembilan papan tanda lain dirampas dalam operasi bersepadu serupa sehari sebelum itu.

Ahli Majlisnya, Ong Ah Teong memberitahu, langkah penguatkuasaan itu dilaksanakan selepas MBPP sejak 21 bulan lalu mengeluarkan notis-notis pemberitahuan kepada para pemilik premis perniagaan terbabit.

“Semalam (6 April 2017), kita (MBPP) hanya rampas papan tanda tidak berlesen… kain rentang di depan premis perniagaan yang tidak ikut garis panduan pun kita rampas.

“Kalau pengadang cahaya matahari diperbuat daripada buluh yang diletakkan di hadapan kedai mempunyai unsur pameran atau unsur komersial, pemilik mesti mendapatkan lesen dan ikut garis panduan papan tanda di tapak warisan juga, jika tidak akan dirampas juga,” jelasnya dalam sidang media di Lebuh Acheh di sini.

Penjelasan Ang Teong itu adalah sebagai menjawab isu MBPP merampas pengadang cahaya matahari yang diperbuat daripada buluh di premis perniagaan tertentu dekat

Lebuh Acheh, yang tular di beberapa media dan laman sosial Facebook sejak hari pertama operasi dilaksanakan.

Menurut Ah Teong, operasi bersepadu fasa pertama Program Pemutihan Dan Pematuhan Peletakan Papan Tanda Perniagaan Di Dalam Tapak Warisan adalah melibatkan tiga jabatan dalaman MBPP, iaitu Jabatan Penguatkuasaan, Jabatan Konservasi Warisan dan Bahagian Pelesenan.