Rangka pelan jangka panjang lahir tenaga kerja mahir

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF

BAYAN BARU– Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat Pulau Pinang dalam usaha merangka pelan jangka panjang untuk menambah bilangan tenaga kerja mahir pelbagai sektor bagi menarik minat lebih ramai pelabur ke sini.

Penasihat khas kepada Ketua Menteri, Datuk Lee Kah Choon berkata, Pulau Pinang memerlukan lebih ramai tenaga kerja mahir berpengetahuan tinggi selain usaha menarik pekerja tempatan yang bekerja di luar negara agar kembali berkhidmat di sini.

“Oleh demikian, kita (Kerajaan Negeri) dalam usaha merangka pelan jangka panjang di bawah Pusat Bantuan Kerjaya dan Bakat Pulau Pinang (CAT) untuk menambah bilangan pekerja mahir pelbagai sektor termasuk bidang pembuatan teknologi tinggi serta perkhidmatan tambah nilai.

“Di bawah pusat-pusat bantuan tersebut juga, terdapat agensi-agensi pelbagai bidang yang turut menyediakan pelan untuk menarik semula pekerja tempatan yang bekerja di luar negara agar kembali bekerja di sini,” katanya pada satu sidang media baru-baru ini di sini.

Kah Choon menambah, sejajar itu, Kerajaan Negeri turut akan menambah baik dasar sedia ada dan menyediakan persekitaran lebih kondusif dalam usaha mengekalkan tenaga kerja yang baik.

“Walaupun menghadapi cabaran ekonomi global semasa, trend pekerjaan di sini (Pulau Pinang) dilihat semakin sihat pada kadar yang sangat mampan.

“Ini terbukti berdasarkan rekod dikeluarkan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) bahawa sebanyak 14,515 peluang
pekerjaan baru di Pulau Pinang diluluskan pihak terbabit pada tahun 2013.

“Kita perlu wujudkan pekerjaan yang lebih bagus di Pulau Pinang sebelum usaha serius menarik bukan sahaja masyarakat tempatan
(Pulau Pinang), tetapi masyarakat Malaysia untuk bekerja di Pulau Pinang,” ujar beliau.