Rejuvinasi tugu kelip-kelip & kapal kargo melalui CSR

JAWI – Tugu kelip-kelip dan (tugu) kapal kargo yang menjadi mercu tanda Nibong Tebal akan direjuvinasikan semula oleh pemaju, Epic Valley Holding Sdn. Bhd. menerusi pelaksanaan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) pihak berkaitan di sini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jawi, Soon Lip Chee semasa melawat tugu itu memberitahu, projek peremajaan kedua-dua struktur konkrit itu adalah termasuk mengecat semula, memasang lampu serta kerjakerja landskap.

“Dua mercu tanda Nibong Tebal, tugu kelip-kelip dan tugu kapal kargo bakal diberi nafas baru oleh Epic Valley Holdings Sdn. Bhd dengan mengecat semula, pemasangan lampu serta kerja-kerja landskap.

“Kelip-kelip merupakan sesuatu yang sinonim di laluan Sungai Kerian, manakala, kapal kargo melambangkan sejarah jeti Nibong Tebal sebagai pusat perdagangan pada zaman lampau.

Lanjutan itu, Lip Chee merakamkan penghargaan kepada Pengarah Urusan Epic Valley Holdings, Tan Sri Datuk Paduka Prof. Dr. Fng Ah Seng kerana menyumbang RM88,300 atas nama program CSR dalam pemajuan projek penarafan tersebut.

Dalam pada itu, Ah Seng pada sidang media sama memberitahu, pihaknya berharap CSR yang dilakukan itu turut menyumbang pada usaha-usaha menghijaukan lagi kawasan di sini.

“Dengan kerjasama syarikatsyarikat swasta bersama-sama Kerajaan Negeri dan kerajaan tempatan (PBT), projek landskap dapat dijalankan dengan lebih sempurna,” ujarnya.

Kedua-dua tugu itu dibina pada tahun 2007, di lokasi strategik keluar dan masuk ke Nibong Tebal.