Reka bentuk bangunan baharu perlu dilengkapi sistem ‘hijau’, nyah haba – YDP

Admin

SEBERANG JAYA – Mulai 1 Ogos ini, pelan reka bentuk bangunan baharu berkeluasan lebih 4,000 meter persegi yang dipohon kepada Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) mestilah dilengkapi sistem nyah haba secara semulajadi serta kurang menggunakan tenaga untuk tujuan pendinginan haba.

Atas maksud itu, Yang di-Pertua Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Dato’ Maimunah Mohd. Sharif memberitahu, pihaknya saling bekerjasama dengan Persekutuan Bangunan Hijau Malaysia (MGBC) untuk memberi pemahaman kepada pemaju dan arkitek berkenaan Overall Thermal Value (OOTV).

“MPSP juga komited melaksanakan UKBS Pindaan 2016 Seksyen 38A dan 38B bagi semua permohonan pembangunan baharu mulai 1 Ogos ini.

“Ianya juga merupakan cara terbaik untuk mencapai hasrat Kerajaan Negeri dalam mengutamakan perancangan pembangunan yang mampan berkonsepkan GBI (Index Bangunan Hijau),” katanya dalam persidangan tersebut di sini baru-baru ini.

Tambah Maimunah, kemestian reka bentuk bangunan baharu atau yang diubah suai dengan ruangan hawa dingin melebihi 4,000 meter persegi mematuhi beberapa syarat berwajib adalah berdasarkan Seksyen 38A dan 38B Undang-undang Kecil Berseragam (UKBS) pindaan 2016.

Sehingga kini, jelas beliau, sebanyak 18 bangunan seluruh Seberang Perai dianugerahkan GBI.

Selain Ahli-ahli Majlis bagi MPSP, Pengerusi MGBC Northern Chapter, Datuk Ar. Lawrence Lim dan Timbalan Pengerusi MGBC Northern Chapter, Baylon Tham turut sertai persidangan tersebut.