Reka bentuk Kompleks Pasar Teluk Kumbar, cipta suasana baharu pasar moden – Mohd. Fakhri

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI

 GEORGE TOWN – Reka bentuk unik dan pengaturcaraan bermodul membawa tuah kepada SAM Arkitek Perunding apabila memenangi tempat pertama Pertandingan Reka Bentuk Peringkat Kebangsaan bagi cadangan pembinaan Kompleks Pasar Teluk Kumbar, Bayan Lepas baru-baru ini.

Konsep reka bentuk unik bercirikan moden itu dilihat bakal menjadi mercu tanda bandar Teluk Kumbar yang terletak di dearah Barat Daya dan pusat komuniti penduduk tempatan.

Selain mengekalkan reka bentuk sejagat dan hijau, tumpuan utama kompleks pasar tersebut pastinya tertumpu kepada pembahagian zon merangkumi zon basah, zon separa basah atau kering dan zon komuniti yang dikenali sebagai ‘The Street’.

Malah, ciri-ciri yang terbahagi mengikut fungsi diterapkan dalam reka bentuk menambat hati para juri sekaligus menewaskan 26 firma kejuruteraan awam tempatan lain yang turut bertanding.

Arkitek Kanan SAM Arkitek Perunding, Mohd. Fakhri Abdul Rahman berkata, reka bentuk kompleks pasar tersebut diilhamkan melalui beberapa ciri pasar yang terdapat di Pulau Pinang.

“Idea asal adalah untuk mencipta suasana baharu dalam pembinaan kompleks pasar moden dan bukannya kekal sebagai pasar tradisi yang berbau dan digenangi air dengan mengambil kira beberapa aspek lain seperti segmen tadahan hujan, segmen kemudahan awam dan lain-lain segmen yang moden dan praktikal,” katanya ketika ditemui Buletim Mutiara pada Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Reka Bentuk Peringkat Kebangsaan Cadangan Pembinaan Kompleks Pasar Teluk Kumbar di sini baru-baru ini.

SAM Arkitek Perunding berjaya membawa pulang wang tunai berjumlah RM35,000 serta sijil penghargaan yang disampaikan oleh Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng. Pemenang dinilai oleh beberapa juri profesional, antaranya, Pengarah ArchiCentre Sdn. Bhd., Ar. Dr. Tan Loke Mun, Panel Akreditasi GBI (Green Building Index), Ar. Von Kok Leong, Pengarah Hijjas Kasturi Associates Sdn. Bhd., Ar. Serina Hijjas, Pengarah Kawalan Bangunan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Ar. Yew Tung Seang serta dua Ahli Majlis MBPP, Felix Ooi Keat Hin dan Ong Ah Teong.

Pertandingan yang diadakan dengan kerjasama MBPP dan Pertubuhan Arkitek Malaysia (PAM) Cawangan Utara tersebut bertujuan mendapatkan pelbagai konsep reka bentuk daripada perunding kejuruteraan awam berpengalaman bagi menghasilkan kompleks pasar moden serta lestari.

Loke Mun yang juga Ketua Juri ketika mengulas tentang pemilihan lima penyertaan terbaik turut memuji usaha yang dijalankan oleh pihak MBPP dan Kerajaan Negeri.

Ujarnya, beliau sendiri kagum dengan kesungguhan pimpinan Kerajaan Negeri kini dalam menjadikan negeri Pulau Pinang sebagai ‘Better Penang’.

“Sebelum inipun, saya turut dijemput oleh MBPP bagi projek penaiktarafan projek di Rifle Range beberapa tahun lalu,” ujarnya yang memuji kepimpinan Datuk Bandar MBPP, Datuk Patahiyah Ismail.

Dicadangkan di atas tanah Lot. 908, Mukim 9, Jalan Teluk Kumbar dengan keluasan 4.371 ekar, setiap penyertaan mestilah menerapkan ciri-ciri bersih, tidak berbau, GBI dan reka bentuk sejagat.