Renang rentas selat, GRPB peringkat kerajaan tempatan

Admin

SEBERANG JAYA – Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC) baru-baru ini meluncurkan Manual dan Buku Panduan Gender Responsive and Participatory Budget (GRPB) dalam mengarusperdanakan gender sehingga ke peringkat akar umbi.

Manual yang diterbitkan dalam dua versi iaitu Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris tersebut merupakan pendekatan dalam melaksanakan GRPB yang lebih efektif, adil serta menyeluruh dalam konteks urus tadbir yang baik dan kesaksamaan gender.

Exco Belia dan Sukan, Pembangunan Wanita Keluarga & Komuniti, Chong Eng yang hadir menyempurnakan peluncuran tersebut kagum dengan komitmen yang ditonjolkan oleh PWDC dan pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri.

“Manual ini merupakan manual khas bagi jabatan atau agensi perkhidmatan awam dalam merancang serta melaksanakan GRPB bersama-sama dengan komuniti setempat.

“Malah, saya sangat bangga kerana Pulau Pinang merupakan negeri pertama di Malaysia yang melaksanakan GRPB di peringkat kerajaan tempatan. “Saya juga bangga dengan komitmen pemimpin komuniti sama ada Ahli Parlimen, Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) dan persatuan-persatuan penduduk dalam menjayakan pelaksanaannya sehingga ke akar umbi,” ujarnya yang juga ADUN Padang Lalang.

Dalam pada itu, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Patahiyah Ismail ketika berucap menyatakan bahawa pihaknya sentiasa bekerjasama dengan PWDC terutama dalam program-program di peringkat komuniti seperti Bengkel Outcome Base Budgetting, Sesi Town Hall MBPP bersama masyarakat setempat dan projek di Pasar Lebuh Campbell dekat George Town.

“Kerjasama kami (MBPP dan PWDC) terserlah melalui Projek Perumahan Rakyat (PPR) Jalan Sungai dan Projek Taman Kenari, Sungai Ara.

“Mulai tahun ini juga, Kerajaan Negeri turut menetapkan penunjuk prestasi utama (KPI) yang perlu dicapai oleh PBT dalam mengarusperdanakan gender ke arah keselarasan, antaranya menyempurnakan sistem pangkalan data mengikut jantina, menginstitusikan program kesedaran gender, merangka garis panduan gender dalam pada tahun 2018 dan mencapai penyertaan 30 peratus wanita sebagai Ahli Majlis serta Ketua Jabatan wanita menjelang 2020.

“Bagi penyertaan wanita, MBPP kini telahpun berjaya melaksanakannya iaitu 33.3 peratus atau lapan daripada 24 Ahli Majlis MBPP adalah wanita dan 41.17 peratus atau tujuh daripada 17 Jabatan MBPP diterajui oleh wanita,” jelasnya.

Bagi Yang di-Pertua Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Dato’ Maimunah Mohd. Sharif, MPSP sejak tahun 2014, pihaknya telah menjalankan Soal Selidik Bajet melibatkan semua komuniti di Seberang Perai.

“Juga pada tahun 2016, MPSP telah memulakan empat projek perintis GRPB iaitu kontrak pembersihan di Pulau Aman, projek naik taraf di Taman Tunku, Kompleks Penjaja Kurau 3 di Taman Chai Leng dan projek peningkatan keselamatan di PPR Ampangan, Ampang Jajar.

“Selain itu, saya juga merupakan Global Executive Committee of International Council of Local Environmental Initiatives (ICLEI) mewakili Asia Tenggara, antara dua wanita yang secara konsisten memperjuangkan isu gender dalam ICLEI.

“Akhirnya, agenda kesetaraan gender berjaya dimasukkan dalam agenda ICLEI dalam pembangunan mampan memandangkan wanita juga berperanan dalam membangunkan sesebuah negara,” katanya yang turut membawa isu kesaksamaan gender sehingga ke peringkat antarabangsa.

Selain itu, MBPP dan MPSP kini sedang giat merencanakan Pelan Tindakan Strategik Penginstitusian GRPB bagi tempoh 2016-2018 dalam mengintegrasikan gender dan proses penyertaan rakyat selaras dengan Agenda 2030 Sustainable Development Goals (SDGs) – ‘No one leave behind’ oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).