Renovasi Komtar gamit perhatian peserta Larian Komtar 2016

Admin

Teks & Gambar : WATAWA NATAF ZULKIFLI

GEORGE TOWN – Ahli Parlimen Tanjung, Ng Wei Aik berkata, renovasi besar-besaran pada struktur bangunan Komtar yang menjadi mercu pentadbiran Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang seakan turut dirasai oleh rata-rata peserta edisi kelapan Larian Komtar 2016 baru-baru ini.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Hadiah Larian Komtar 2016 yang dilangsungkan di Komtar Walk di sini.

“Kini, Komtar juga berubah, dari 65 tingkat kepada 68 tingkat setelah Kerajaan Negeri melalui Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) dan pihak swasta memberi tambah nilai kepada mercu tanda negeri ini.

“Tahun hadapan, saya harap kita akan dapat guna tangga baharu yang dinaiktaraf melalui Komtar Walk naik terus ke tingkat lima dan terus berlari ke garisan penamat,” ujarnya.

Difahamkan, seramai 1,015 peserta dari dalam dan luar negara bersaing merebut kejuaraan dalam acara tahunan kali ini.

Bagi Kategori Terbuka Lelaki, R. Ruben Kumar berjaya menggondol gelaran juara dengan catatan masa 13 minit dan 31 saat meninggalkan Yong Jin Kuang di kedudukan kedua dan Nik Fakaruddin Ismail pada tempat ketiga.

Manakala, Kategori Terbuka Wanita dimenangi Yee Pei Ni, dengan catatan masa 17 minit dan 7 saat.

Peserta, A.Vadiveelu berjaya memenangi tempat pertama bagi Kategori Veteran Lelaki, selepas menewaskan dua pencabar terdekatnya, Khir Salleh di tempat kedua dan V. Devandran (tempat ketiga).

Karen Geh Cheng Hoon, selesa memenangi Kategori Veteran Wanita dengan catatan masa 18 minit 39 saat.

Kategori Remaja Lelaki menyaksikan Goh Jiang Xian menggondol kejuaraan selepas mendahului pencabar kedua, Ahmad Muhaimin Abd. Manan dan ketiga, Muhammad Irwan Zahaidi.

Bagi Kategori Remaja Wanita, Janice Loh Yin Jin diumum sebagai juara.

Semua pemenang menerima hadiah berupa wang tunai, sijil penyertaan, trofi dan pingat.

Tidak ketinggalan adalah 30 hadiah cabutan bertuah berupa barangan elektrik dan basikal yang menjadi rebutan para peserta.