Responden kaji selidik Bajet 2018 MPSP meningkat

Teks & Gambar : DARWINA MOHD. DAUD

BUKIT TENGAH – Seramai 10,648 peserta mengambil bahagian dengan memberi maklum balas awam mengenai Bajet Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) bagi tahun 2018 dengan peningkatan kira-kira 149 peratus, berbanding 4,278 responden sahaja pada sesi kaji selidik sebelumnya.

Dalam nada gembira, Yang di-Pertua MPSP, Dato’ Maimunah Mohd. Sharif berkata, perkembangan terbaru itu sekaligus menunjukkan usaha pentadbirannya sejak beberapa tahun lalu dalam menyediakan belanjawan tahunan ketika ini seakan kian mendapat partisipasi awam, khususnya daripada kalangan orang muda.

“Kaji Selidik Bajet 2018 MPSP pada kali ini menunjukkan data sangat baik, yang mana majoriti responden adalah dalam lingkungan 21 hingga 39 tahun, iaitu seramai 5,426 orang atau 51 peratus.

“Ini merupakan generasi yang mahu membentuk masa depan Seberang Perai ke arah lebih maju dan berdaya saing.

“Secara ringkas, 92 peratus responden berpuas hati atas khidmat pembersihan yang dilaksanakan oleh MPSP, baki cuma lapan peratus sahaja kurang bersetuju.

“Ini membuktikan bahawa penduduk di Seberang Perai sudah mula menunjukkan minat dengan mengambil bahagian dalam soal selidik ini,” katanya kepada pemberita dalam Sesi ‘Town Hall’ Dialog Bajet MPSP 2018 di sini baru-baru ini.

Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang & Alam Sekitar, Phee Boon Poh yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Puyu; Exco Belia dan Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga & Komuniti merangkap ADUN Padang Lalang, Chong Eng; ADUN Penanti, Dr. Norlela Ariffin; ADUN Bukit Tengah, Ong Chin Wen; ADUN Bagan Dalam, A. Tanasekharan; ADUN Jawi, Soon Lip Chee dan Setiausaha Perbandaran MPSP, Sr. Rozali Mohamud turut sertai sidang media tersebut.

Pada sidang media itu, Maimunah turut membentangkan hasil kaji selidik Bajet 2018 MPSP, meliputi tujuh fokus perkhidmatan yang dijadikan keutamaan bagi pihak berkuasa tempatan (PBT) tahun depan.

Seperti tahun lepas, Maimunah menyatakan bahawa 24 peratus responden bersetuju supaya MPSP memberi fokus kepada perkhidmatan kebersihan.

Enam jenis perkhidmatan lain, menurutnya, mendedahkan 15 peratus responden di Seberang Perai mahu MPSP memberi tumpuan kepada perkara infrastruktur dan kemudahan awam, diikuti, keselamatan dan lalu lintas (15 peratus); kawalan banjir (13 peratus); pengindahan dan kehijauan (13 peratus); penguatkuasa undang-undang (10 peratus) dan penglibatan komuniti (10 peratus).

“Ini menunjukkan pelaksanaan kerjakerja pembersihan sendiri oleh MPSP dan kempen pengasingan sisa di punca telah meningkatkan tahap kepuasan penduduk di sini.

“MPSP juga sedaya-upaya akan meningkatkan tahap kebersihan supaya kualiti hidup di Seberang Perai juga dapat ditingkatkan.

“Setiap perbelanjaan MPSP yang diaudit kita (MPSP) akan dikepilkan di belakang cukai tafsiran.

“Kita (MPSP) nak belanja kita tanya, lepas kita (MPSP) belanja kita (MPSP) tunjuk kepada rakyat…ini membuktikan MPSP mengamalkan prinsip Cekap, Akauntabel dan Telus (CAT) dalam menyediakan bajet,” jelas beliau.


Cateogry: PBT

Comments are closed.



Latest Articles

Like Our Facebook Page

Download Buletin Mutiara

Twitter

Buletin Mutiara Videos

Recent Comments

  1. Link telah dibaiki. Sila cuba lagi sekal... in Octopus bridge is going down
    on June 8, 2013
  2. Buletin Mutiara 16-30 Mei 2013 Edisi Bah... in Octopus bridge is going down
    on June 8, 2013

Archives