Revitalisasi semula Komtar, terima Anugerah Projek Terbaik MCIEA 2017

Admin

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar : ALISSALA THIAN

GEORGE TOWN – Projek revitalisasi semula Komtar dikenali, The Top berjaya merangkul kemenangan pada malam berprestij Anugerah Kecemerlangan Industri Pembinaan Malaysia (MCIEA) 2017 anjuran Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) Malaysia baru-baru ini.

Only World Group Berhad (OWG) selaku pemaju pembinaan dan Alam Langkawi Sdn. Bhd. sebagai kontraktor utama projek menghidupkan semula Komtar menerima Anugerah Projek Terbaik MCIEA 2017 bawah Kategori Bangunan Sederhana (projek bernilai di antara RM20 juta hingga RM100 juta).

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng ketika majlis penghargaan khas yang diadakan berkata, pengiktirafan pencapaian tersebut adalah sebahagian daripada usaha dicurahkan kedua-dua syarikat terbabit yang mana telah berjaya menyempurnakan projek revitalisasi Komtar melalui kerja-kerja pembinaan kejuruteraan yang mencabar, rumit dan ekstrem.

“Tidak seperti bangunan konvensional, pembinaan menghidupkan semula Komtar memerlukan metadologi aplikasi pembinaan yang betul, kerja pada aras tinggi dan pemasangan tepat.

“Selain idea-idea pembinaan inovatif dan penggunaan peralatan yang patuh kepada keselamatan, setiap satu langkah proses pembinaan ini perlu diperiksa dengan teliti, dipantau, diuji serta jaminan terhadap kualiti perlu diperiksa,” ujarnya pada Majlis Penyampaian Sijil Penghargaan kepada Pasukan Projek Revitalisasi Komtar di The Top di sini.

Turut hadir, Pengurus Besar Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC), Datuk Rosli Jaafar, Tan Sri Datuk Richard Koh (Ketua Pegawai Eksekutif OWG), Dato’ Ir. Ang Choo Hong (Ketua Pegawai Eksekutif PDC Setia Urus Sdn. Bhd.) dan Ir. Soon Eng Kooi (Ketua Pegawai Eksekutif Alam Langkawi Sdn. Bhd.).

Pada tahun 2012, OWG telah memenangi tender terbuka untuk ‘menghidupkan’ semula Komtar.

Dengan jumlah pelaburan sebanyak RM200 juta, The Top telah ditransformasikan dengan dimensi imej baharu yang lebih inovatif.

Berbeza dengan keadaan Komtar pada lewat 90-an, Guan Eng menyatakan bahawa Komtar (The Top ) kini bakal ditambah baik dengan pelbagai tarikan lebih menarik.

“Antaranya, Galeri Pulau Pinang dan Central Market di Aras 3 (Komtar Fasa 2) yang dijangka akan dibuka kepada umum menjelang hujung tahun ini.

“ Begitu juga Akuarium di Aras 4 (Komtar Fasa 2) akan menyambut kedatangan tetamu sebagai akuarium pertama di Malaysia yang mengabungkan ikan sebenar dan ikan maya.

“Malah, paling menarik adalah untuk anda yang sukakan aktiviti ekstrem serta mencabar, kita bakal menawarkan aktiviti berjalan kaki mengelilingi Komtar menggunakan tali di luar Aras 65.

“Sebagai tambahan, keunikan lukisan mural seni tertinggi yang dijangka bakal bermula tahun hadapan,” jelas beliau.