Revolusi Industri 4.0 mampu lonjakkan industri halal Negeri ke peringkat global

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS

PANTAI JEREJAK – Gelombang Revolusi Industri 4.0 dilihat mampu melonjakkan pertumbuhan industri halal Pulau Pinang ke peringkat global, kata Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng. Rentetan itu, beliau menyarankan supaya penggiat industri halal menguasai aplikasi digital terkini serta menerokai perisian atau perkakasan berteknologi tinggi.

Guan Eng berkata, perkembangan industri halal tidak hanya tertumpu di negaranegara Islam, bahkan turut diterokai negara maju seperti Jepun dan Korea Selatan.

“Oleh itu, di sini kita perlu bersaing dengan lebih hebat bagi meletakkan nama Pulau Pinang dalam peta industri halal dunia dan sasaran tersebut dilihat mampu melonjakkan lagi pertumbuhan industri halal Pulau Pinang di persada global,” ucapnya pada Majlis Perasmian Expo Halal dan Persidangan Antarabangsa Pulau Pinang (PIHEC) Kali KeSembilan di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Mohd. Rashid Hasnon; Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Dato’ Abdul Malik Abul Kassim yang juga Pengerusi agensi negeri Penang International Halal Hub (PIHH); Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin dan Ahli Parlimen Bukit Bendera, Zairil Khir Johari. Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Pembangunan, Dr. Mohamad Farazi Johari; Timbalan SUK Pengurusan, Dato’ Ghazali Derahman dan Pengerusi Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP), Dato’ Sazali Hussein turut serta memeriahkan perasmian berkaitan.

Difahamkan, sebanyak 302 syarikat mengambil bahagian pada penganjuran berkaitan berbanding kali pertama PIHEC diadakan pada tahun 2009, dengan hanya membabitkan 97 syarikat dari dalam dan luar negara Manakala, sejak insentif halal diperhebatkan, Kerajaan Negeri berjaya menarik sebanyak RM400 juta nilai pelaburan ke Taman Perindustrian Halal Fasa 1 di Batu Kawan dan dijangka Fasa 2 yang beroperasi akhir tahun ini akan membawa masuk RM230 juta lagi pelaburan ke Pulau Pinang.

Pada penganjuran tersebut, PIHH selaku penganjur turut menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama-sama Holistic Lab Sdn. Bhd. untuk pembangunan & kajian berkenaan halal.