“Rezeki daripada Allah, berniaga dengan iman”, Lan pengusaha Kek Lapis D Penang

SETELAH kilang yang sekian lama menjadi sumber rezekinya berpindah lokasi operasi, berbekalkan modal berjumlah kira-kira RM350, Roslan Abu, 42, membeli pengadun tangan dan ketuhar kecil dengan nekad untuk memulakan perusahaan kek lapis Sarawak bagi menyara keluarga beliau.

Seumur hidup, akui Roslan atau lebih mesra dengan nama panggilan Lan menyatakan bahawa beliau tidak pernah membuat kek, apatah lagi kek lapis Sarawak yang memerlukan kemahiran khas.

“Tidak pernah sentuh, buat, tapi minat ada juga. Isteri saya orang Sarawak dan beliau yang selalu buat.

“Bila nampak peluang (untuk kembangkan perusahaan), saya belajar dengan isteri, malah kami berdua balik ke Sarawak untuk mengikuti bengkel khas bagi menambah baik yang sedia ada,” katanya ketika ditemui Buletin Mutiara di kediamannya di Jalan Gajah Mati, Machang Bubok, Seberang Perai Tengah (SPT).

Sekembalinya di sini, Lan cuba menambah baik resipi asal berasaskan citarasa orang utara.

“Mula-mula belajar, proses guna pengadun besar, pakai pengisar tangan macam tak biasa.

“Telur tak kembang, kek kurang cantik, kek agak padat sikit…antara cabaran yang dihadapi,” jelasnya sambil tersenyum.

Menurut Lan, beliau mengambil tempoh masa dua tahun untuk betul-betul memahiri teknik membuat kek lapis Sarawak yang kini dijenamakan sebagai Kek Lapis D Penang keluarannya serta isteri tercinta, Masni Dollah, 42.

Ketika dicelah mengenai soalan bahawa bidang pembuatan kek kebiasaannya dipelopori golongan Hawa, Lan yang agak pemalu perwatakannya tersenyum sipu menyatakan bahawa cef-cef hebat adalah terdiri daripada golongan lelaki.

“Industri pembuatan kek tidak dinafikan majoritinya adalah dalam kalangan wanita… golongan lelaki, sekiranya terlibat (di dalam bidang ini), saya rasa progresif, produktiviti adalah lebih tinggi, laju, tak demand sangat,” ujarnya.

Kek lapis, ulas Lan adalah menggunakan bahan sama seperti kek-kek biasa , yang membezakannya ialah ia (kek lapis) perlu dibuat layer by layer (berlapislapis).

“ Malah , untuk memperoleh resepi sempurna, tempoh empat tahun diperuntukan saya, kadang-kadang tak jadi sebab terlalu basah.

“Keunikan Kek Lapis D Penang adalah ia tidak menggunakan pengawet, dan hanya dapat bertahan tujuh hari berbanding produk dibeli dari negeri Sarawak yang kebiasaannya dapat disimpan dalam tempoh enam bulan.

“Yang negeri Sarawak, kebiasaannya ada pengawet, sebab itu bila balik (selepas menghadiri bengkel), kami ubah resipi, cara pembuatan.

“Selain rasa yang berbeza (berbanding produk negeri Sarawak), kepada pelanggan, memang kami nyatakan awal bahawa kek kami tiada pengawet, tak tahan lama…tidak sangka, lama-kelamaan ia jadi pilihan ramai,” katanya.

Mengulas lanjut, Lan memberitahu bahawa jenis Kek Lapis D Penang yang paling popular ialah asam pandan, masam manis dan keju koko.

Tambah menarik, ketika sesi wawancara dijalankan beberapa bulan lalu , Lan memperkenalkan produk terbaru ciptaannya, Kek Lapis Durian Pakan yang berperisa durian.

“(Kek) masam manis ialah kek pertama yang saya belajar dan berjaya dihasilkan saya. Bangga sebab kini ia menjadi antara yang paling popular.

“Selain itu, kek lapis semarak yang bercorak, saya pada peringkat permulaan terpaksa mengambil masa dua hari menyiapkannya,” jelas beliau.

Selain pasaran tempatan, Kek Lapis D Penang turut menjelajah ke seluruh Semenanjung Malaysia, dari Perlis hingga negeri Johor dengan purata pengeluaran dalam tempoh sehari adalah sebanyak 300 biji membabitkan empat hari pembuatan dalam tempoh seminggu.

Berkongsi mengenai prinsip perniagaan, Lan menyatakan bahawa adalah menjadi prinsipnya untuk bersikap jujur dan ‘berkongsi rezeki’.

“Maknanya, kami tidak bersaing dengan dealer atau peniaga, kami selaku pengeluar sahaja. Ini bermakna, apabila ada agen, saya tidak akan bersaing dengan agen berkaitan, mereka (dealer) boleh masukkan label sendiri.

“Ini adalah berasaskan konsep bahawa seseorang tidak boleh buat semua sendirian, umumnya, kita perlu kongsi.

“Satu lagi prinsip ialah dealer cuma perlu bayar barang yang dijual sebab saya percaya rugi atau untung, perlu bertimbang rasa dan saya percaya kepada konsep bahawa rezeki adalah daripada Allah, berniaga dengan iman,” ujarnya sambil bersyukur dengan apa yang dikecapi beliau kini.

Bagi perancangan masa depan, Lan ingin membuka bengkel baru yang lebih besar daripada sedia ada dan menambah jenis produk dengan memfokuskan kepada citarasa tempatan.

“Perniagaan ini kini menjadi fokus kami suami isteri sepenuh masa. Malah, daripada tiga cahaya mata, anak sulung yang kini berusia 15 tahun menunjukkan minat yang mendalam.

“Kami memang rancang untuk menurunkan perniagaan ini kepadanya kelak,” ulas Lan mengakhiri sesi wawancara pada hari berkaitan.