Risiko banjir Sg. Pinang boleh dikurangkan jika Pusat tepati janji – Jagdeep

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI

DATUK KERAMAT – Kejadian banjir yang berlaku pada sambutan hari Deepavali dan 7 November 2016 di kawasan Datuk Keramat rentetan limpahan air Sungai Pinang boleh dikurangkan sekiranya Kerajaan Pusat tidak melengahkan penyaluran dana bagi menyempurnakan Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Pinang.

Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo sekali lagi menggesa supaya Kerajaan Pusat menepati janji yang dibuat sejak Rancangan Malaysia Ke-9 (RMK-9).

“Projek-projek jangka masa pendek seperti pembersihan sungai, mengorek sungai dan membaik pulih sistem perparitan terus dilaksanakan oleh JPS (Jabatan Pengairan dan Saliran) Pulau Pinang setiap tahun.

“Tetapi, masalah atau punca berlakunya banjir di Sungai Pinang masih tidak ditangani kerana projek jangka masa panjang, iaitu penyempurnaan baki fasa RTB Sungai Pinang, Fasa 3, mengalami kelewatan yang melampau,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat pada sidang media di sini 8 November lalu.

Menurut Jagdeep, projek RTB Sungai Pinang merupakan projek Kerajaan Pusat yang melibatkan tiga fasa.

*Fasa 1 dilaksanakan pada tahun 1998 melibatkan kos sebanyak RM6.45 juta dengan kerja-kerja pelebaran, pedalaman dan pengukuhan tebing sungai sehingga Jalan Patani.

*Fasa 2, siap pada 1999 melibatkan komponen pengambilan balik tanah dengan menempatkan semula 223 penduduk membabitkan 120 struktur gagal disempurnakan oleh Kerajaan Negeri Barisan Nasional (BN) tedahulu.

*Rentetan itu, Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang mengambil tanggungjawab menangani isu penempatan semula yang telahpun selesai pada pertengahan tahun 2016, membabitkan kos RM4 juta.

“Memandangkan kerja penempatan semula telah diselesaikan oleh Kerajaan Negeri, fasa seterusnya, Fasa 3 yang bukan sahaja melibatkan kerja-kerja tebatan banjir berjumlah RM321 juta, tetapi juga (melibatkan) kerja-kerja peningkatan kualiti air dengan kos RM333 juta, menjadikan kos keseluruhan kini RM645 juta.

“Kerja-kerja peningkatan kualiti air, kita (Kerajaan Negeri Pulau Pinang) boleh tunggu, tetapi yang kerja-kerja tebatan banjir perlulah disegerakan, jangan berlengah lagi.

“Sudah empat kali dalam tempoh 10 hari kawasan ini (Datuk Keramat) dinaiki air, sehingga menjejaskan lebih 3,000 penduduk di sini, tambahan pula dengan keadaan cuaca yang tidak boleh diramalkan.

“Saya percaya, risiko banjir di kawasan ini dapat dikurangkan sekiranya RTB Fasa 3 ini dilaksanakan segera dan Kerajaan Pusat menunaikan janji mereka menyalurkan dana bagi pelaksanaan projek tebatan banjir di sini,” ujarnya yang akan menulis kepada Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar bagi mencadangkan penubuhan tabung khas bagi membantu penduduk yang mengalami kerugian akibat kegagalan dan kelewatan penyempurnaan RTB Sungai Pinang.

Turut sama, ADUN Sungai Pinang, Lim Siew Khim, ADUN Seri Delima, R.S.N. Rayer serta wakil-wakil penduduk di Masjid Acheh Kebun Lama, dekat sini.

} else {