RM10 juta ubah suai Mayang Mall kepada pusat GBS pelabur

Admin

PANTAI JEREJAK – Kerajaan Negeri Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang baru-baru ini melancarkan Perkhidmatan Perniagaan Global (GBS) @ Mayang dalam usaha merangsang pelaburan dan peluang pekerjaan di negeri ini.

Majlis pelancaran khusus yang bertujuan menggalakkan syarikat tempatan dan global menubuhkan operasi masing-masing di GBS @ Mayang itu disempurnakan Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng di sini baru-baru ini.

Guan Eng ketika berucap menyatakan bahawa Kerajaan Negeri menganggarkan kira-kira 50 syarikat GBS bakal turut serta dan mampu menyediakan lebih daripada 8,000 peluang pekerjaan berpendapatan tigggi kepada penduduk tempatan meliputi pasaran serantau dan global.

“Potensi pertumbuhan besar industri GBS memerlukan persekitaran perniagaan yang kondusif bagi membolehkan sektor ini berkembang.

“Dalam usaha menempatkan syarikat-syarikat yang didorong oleh pengetahuan baru dan berkembang di Pulau Pinang, negeri akan membelanjakan sebanyak RM10 juta bagi mengubah suai bangunan Mayang Mall ini dan mengubahnya menjadi sebuah pusat GBS untuk para pelabur,” katanya pada Majlis Pelancaran GBS @ Mayang pada 7 April lalu.

Turut hadir, Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Mohd. Rashid Hasnon, Exco Pertanian dan Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin dan Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin.

Pengurus Besar Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC), Datuk Rosli Jaafar, Datuk Seri Lee Kah Choon (Penasihat Khas Ekonomi Kepada Ketua Menteri) dan Loo Lee Lian (Pengurus Besar investPenang, iP) hadir sama.

Menurut Oursourcing Malaysia (OM), sektor GBS Malaysia akan memperlihatkan kadar pertumbuhan kompaun tahunan (CAGR) sebanyak 10 sehingga 15 peratus bagi tempoh lima tahun akan datang.

Tambah Guan Eng, lokasi GBS @ Mayang yang strategik iaitu terletak di tengah-tengah kawasan perniagaan Bayan Baru menjadikannya lebih ideal sebagai hab perkhidmatan perniagaan.

“GBS @ Mayang sebenarnya adalah sebahagian daripada pelan induk pembangunan negeri yang menawarkan ruang perusahaan kondusif dan persekitaran kepada pelabur serta bakat sokongan seluruh dunia.
“Fasa 2 rancangan pembangunan yang dikenali sebagai GBS by The Sea dekat Bayan Lepas Phase 4 akan menyusul tidak lama lagi,” jelas beliau.