RM2 juta laksana kelas pengekodan kepada pelajar menengah, rendah

GEORGE TOWN – Bagi menyediakan bakat manusia untuk memacu serta menyokong ekonomi digital dan revolusi perindustrian 4.0, Kerajaan Negeri meluluskan peruntukan sejumlah RM2 juta bagi mewujudkan kelas pengekodan kepada pelajar-pelajar menengah dan rendah di negeri ini.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng memberitahu, program tersebut bakal menjangkau kira-kira  118,000 pelajar menengah dan rendah bagi mendedahkan mereka kepada ekonomi digital.

“Pulau Pinang komited untuk memberikan penekanan serta meningkatkan semangat dalam kalangan generasi muda di dalam bidang sains dan teknologi.

“Bakat adalah segala-galanya…kita (Pulau Pinang) perlu melatih pelajar-pelajar muda untuk mahir di dalam pengekodan, tidak terkecuali golongan wanita,” ujarnya pada Majlis Penghargaan Design-A-Thon 2017 di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Datuk Bandar bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Maimunah Mohd. Sharif dan Pengurus Besar Penang Hill Corporation (PHC), Cheok Lay Leng.

Dalam usaha menyediakan bakat ke arah revolusi perindustrian 4.0, Guan Eng menyatakan bahawa negeri juga telah mengumumkan pembentukan Penang STEM Sdn. Bhd. iaitu sebuah organisasi yang memayungi @CAT Penang, Penang Skill Development Centre (PSDC), Penang Science Cafe (PSC), Pusat Pembelajaran Karpal Singh Pulau Pinang (KSPLC), Tech Dome Penang (TDP) dan Penang Digital Library (PDL).

“Malah, Kerajaan Negeri juga bakal membangunkan PDL kedua (PDL-2) berkeluasan 16,000 kaki persegi.

“Ia akan melibatkan kos sebanyak RM10.8 juta, dan PDL-2 ini dijangka akan beroperasi sepenuhnya menjelang akhir Disember 2018,” jelas beliau.