RM50 juta industri Jerman labur di P. Pinang

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB

BUTTERWORTH – ZF Lenksysteme GmbH melalui syarikat ZF Steerings Malaysia (ZFSM) melabur RM50 juta dalam tempoh dua tahun akan datang demi membina kilang baru bagi menghasilkan bahagian sistem stereng berkuasa elektrik (EPSc) di negeri ini.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng dalam ucapannya berharap, syarikat pembuat sistem stereng kenderaan berpengkalan di Jerman itu akan terus kekal di negeri ini selepas sejumlah RM45 juta dilaburkan sejak tahun 2013 untuk operasi ZFSM.

“ZF menjadikan Malaysia dan Pulau Pinang sebagai pusat transformasi teknologi dan lokasi teknologi berprestasi tinggi.

“Pulau Pinang dipilih kerana ketersediaan tenaga kerja berbakat, bandar bersih yang sesuai untuk didiami, hijau, selamat dan sihat, tadbir urus yang baik serta komitmen ke arah mentransformasikan Pulau Pinang menjadi sebuah bandaraya antarabangsa serta pintar,” jelasnya pada majlis pembukaan kilang tersebut di sini baru-baru ini.

Pengerusi ZFSM, Dr. Marcus Parche turut berucap pada majlis tersebut.

Hadir sama, Kaunselor Ekonomi Kedutaan Republik Persekutuan ,Jerman – Kuala Lumpur, Dr. Wolfram Spelten Datuk Herbert Weiler (Konsul Kehormat Republik Persekutuan, Jerman – Pulau Pinang) serta Yang di-Pertua Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Datuk Maimunah Mohd. Sharif.

Guan Eng dalam ucapannya turut merakamkan penghargaan kepada ZFSM kerana mengambil 100 peratus pekerja daripada warganegara.

“Ini adalah sesuatu yang boleh dibanggakan sebagai membuktikan bahawa syarikat itu tidak memerlukan buruh asing untuk bekerja di kilang ini,” ujar Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan.

Difahamkan, bangunan baru tersebut meliputi 1,150 meter persegi dengan keseluruhan pekerja seramai 427 orang.

Dijangkakan, operasi di kilang baru itu mampu melonjak 40 hingga 60 peratus lagi produktiviti ZFSM.

Sebelum itu, Parche menjelaskan Malaysia menyumbang kira-kira 10 peratus kepada jualan kumpulan industri tersebut.

Tambah beliau, EPSc tersebut cukup untuk memenuhi permintaan pembuat kereta antarabangsa mulai tahun 2017 termasuk di pasaran Asia.
Dengan teknologi EPSc itu, ZF Lenksysteme GmbH berkembang portfolio produk dengan memberi tumpuan kepada keperluan khusus segmen kereta kompak.

“Sistem stereng kereta yang agak kurus untuk mengimbangi beban (agar lebih) rendah dijangka akan menjana permintaan yang lebih besar terutama di Asia,” ujar Parche.