RMM, Kerajaan Negeri tunai janji – Exco

GEORGE TOWN – Projek perumahan kos sederhana rendah (KSR) dan rumah mampu milik (RMM) yang dijanjikan oleh Kerajaan Negeri, The Rise berdekatan Jalan S.P. Chelliah kini 65 peratus siap.

Menurut Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo, pembangunan projek berkenaan dijangka dapat disiapkan lebih awal daripada yang dijadualkan.

“Saya difahamkan oleh pihak kontraktor, projek The Rise ini mampu disiapkan enam bulan berbanding jadual asal, iaitu yang memerlukan sekurangkurangnya 18 bulan lagi.

“ Hal ini membuktikan bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang menepati janji dan bukan cakap kosong sahaja terutama dalam menyediakan perumahan mampu milik di Pulau Pinang.

“(Dan) daripada 18 projek perumahan yang dirancang seluruh negeri, enam daripadanya sudah memulakan kerja – kerja pembinaan termasuklah (projek) Jiran Residensi di Kampung Jawa, Butterworth membabitkan 353 unit KSR serta RMM (354 unit) yang telah 90 peratus siap, dan Dua Residensi, Teluk Kumbar (346 KSR, 348 RMM), 60 peratus siap,” katanya pada satu lawatan tapak di sini 29 Januari lalu.

Turut sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar, Teh Lai Heng dan Ahli Parlimen Tanjung, Ng Wei Aik.

Dalam perkembangan berasingan, Jagdeep mempersoalkan janji Kerajaan Pusat kepada rakyat Pulau Pinang untuk membina Perumahan Rakyat 1 Malaysia (PR1MA) di negeri ini.

“ Jika kita lihat rekod terdahulu, Barisan Nasional (BN) di Pulau Pinang ternyata gagal menyediakan perumahan kepada penduduk negeri ini. Sejak tahun 1999, cuma 5,154 unit rumah kos rendah (KR) dan KSR dibina.

“ Berbanding Kerajaan Pakatan Harapan (PH), kita menyediakan 24,227 unit rumah KR, KSR dan RMM dalam tempoh 10 tahun sejak 2008 hingga 2017.

“Bagi tempoh sama sebelum 2008, hanya 5,145 unit perumahan KR dan KSR dibina oleh BN…iaitu hampir lima kali ganda kurang berbanding pencapaian Kerajaan Negeri sekarang,” jelasnya yang juga ADUN Datuk Keramat.