Rohaini cekal pasar rempah tradisi keluarga

Admin

 

ROHAINI Ismail menunjukkan rempah-rempah yang diisi dalam botol untuk ‘dicuba’ pelanggan.
ROHAINI Ismail menunjukkan rempah-rempah yang diisi dalam botol untuk ‘dicuba’ pelanggan.

 

Oleh : YAP LEE YING

Gambar : IDZHAM AHMAD

 

ADALAH menjadi impian Rohaini Ismail untuk membawa rempah tradisi keluarganya ke mata dunia.

 

Berbekalkan semangat dan potensi bidang keusahawanan itu, beliau yang sebelum ini berhijrah bersama suami ke Amerika Syarikat (selepas mendirikan rumah tangga) kini kembali ke tanah air bagi tujuan berkenaan.

 

Terdedah dan meminati bidang masakan sejak kecil, Rohani yang berperwatakan ceria kini menghasilkan enam produk rempah termasuk garam massala, beriyani, kurma, kari ikan, kari daging dan rasom.

 

Berada di peringkat permulaan, pasaran produk Rohani kini hanya tertumpu di kedai-kedai runcit berhampiran seperti Batu Lanchang, Pasar Awam Kampung Baru, Air Itam dan Pasar Awam Chowrasta, Jalan Penang.

 

“Pada peringkat ini (permulaan), memang susah nak dapat pasaran. Tambahan pula, pembungkusan rempah akak tak lawa.

 

“Apa yang akak buat adalah pastikan pelanggan bau atau hidu produk rempah yang siap diisi dalam botol dan cuba dulu rasa rempah akak yang unik serta turun temurun ini,’’ kata Rohaini kepada Buletin Mutiara (BM) pada sesi temuramah di kediamannya baru-baru ini.

 

Dengan penuh yakin, Rohaini menyatakan bahawa masakan menggunakan rempah istimewanya tidak akan menjadi likat dan bertali.

 

Malah, masakan boleh dihangatkan antara dua hingga tiga hari dengan jaminan ia tidak basi dan rasanya masih sama sedap.

 

REMPAH ratus yang masih belum dikisar.
REMPAH ratus yang masih belum dikisar.

Penglibatan Rohaini dalam bidang penghasilan atau keusahawanan rempah adalah bermula tiga tahun lalu iaitu ketika beliau berada di Amerika Syarikat.

 

“Akak suka masak, malah, suami pula suka makan.

 

“Di sana (Amerika Syarikat), selalu akak masak untuk kawan-kawan. Malah, di atas permintaan, akak telah membuka kelas memasak di rumah mengajar ‘anak-anak murid’ pelbagai latarbelakang seperti Morocco, Brazil, Sepanyol dan lain-lain.

 

“Dari situ, atas dorongan suami, akak mula memasarkan rempah-rempah melalui laman web dengan target nak perkenalkan masakan Malaysia di mata dunia,’’ jelasnya.

 

Rohaini memberitahu, tidak dinafikan, beliau mempunyai impian untuk membuka restoran sendiri sebagaimana premis ibu dan mendiang bapanya yang begitu terkenal pada tempoh 1972 hingga tahun 1982.

 

“Antara masakan paling popular mak dan ayah adalah nasi tomato dan beriani. Malah, setiap hari, sudah tentu 24 ekor ayam goreng yang disalut rempah khas habis dijual,’’ ujar Rohaini yang begitu merindui arwah ayahnya.

 

Walaupun sering membantu kedua ibu bapanya dengan kerja-kerja restoran, namun, Rohaini tidak pernah dan diberi peluang menyediakan lauk-pauk yang dijual.

 

ROHAINI Ismail bersama ibunya, Fatimah Salleh.
ROHAINI Ismail bersama ibunya, Fatimah Salleh.

“Ayah dan mak tidak pernah bagi kami dua beradik (daripada lima beradik) sentuh, hanya dibenarkan tengok sahaja.

 

“Ketika berusia 30 tahun, apabila berpindah ke rumah sendiri di Teluk Kumbar, buat pertama kalinya, saya masak dan menu masakan adalah bubur lambuk walaupun ianya bukan pada bulan Ramadhan.

 

“Tambah membanggakan, ayah kata sedappp,’’ katanya sambil tersenyum.

 

Teruja dan diinspirasikan dengan pujian tersebut, Rohaini kian mendalami bidang berkenaan dan melibatkan diri dalam pembuatan rempah pada 90-an.

 

“Walaupun resipi turun temurun, saya terpaksa kaji dan ukur balik sukatan-sukatan campuran rempah sedia ada kerana mak cuma guna sukatan ‘jemput-jemput’, tiada sukatan secara bertulis,’’ jelas beliau.

 

Sebagai perancangan masa depan, Rohaini berharap produk keluarannya mampu memperoleh pengiktirafan halal selain bimbingan bagi mempertingkatkan kemahiran sedia ada.

 

Malah, sekiranya terdapat pihak yang ingin membuat joint venture, Rohaini tidak akan menolak rezeki itu.

 

Pada masa sama, adalah menjadi harapan Rohaini untuk memperluaskan pasaran produk rempah beliau kini.

 

 

INFO :

Flomas Enterprise

019 – 477 4388

Emel : [email protected]

FB : Rempah Rich FM (Flomas)