RTB Sungai Pinang, KN masih tunggu keputusan Pusat

DATUK KERAMAT – Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow memberitahu bahawa punca utama berlakunya kejadian banjir membabitkan beberapa kawasan pada 2 September lalu adalah disebabkan air di Sungai Jelutong dan Sungai Pinang melimpah keluar ekoran kejadian hujan yang sangat lebat dalam tempoh 2 jam.

Katanya, hujan yang turun dari jam 6.30 pagi hingga 8.30 pagi menyebabkan kedalaman paras air berjumlah 300–600 milimeter (mm). Namun, tiada sebarang perpindahan penduduk yang dilaporkan.

“Kawasan yang terlibat dalam banjir ialah di Jalan Mayang Pasir dan Jalan Datuk Ismail Hashim, Daerah Barat Daya yang melibatkan kawasan di sekitar Pusat Membeli-Belah Sunshine, Hotel Sri Malaysia, Hospital Pantai, Pasaraya Giant dan SPICE dengan keamatan hujan 127mm/jam.

“Manakala di Daerah Timur Laut, melibatkan Jalan P. Ramlee, Jalan Ismail Che Mat, Jalan Paya Terubong dan Jalan Persiaran Bukit Jambul 2 dengan keamatan hujan 91mm/jam.

“Punca utama berlakunya banjir adalah disebabkan oleh air di Sungai Jelutong dan Sungai Pinang melimpah keluar berikutan daripada hujan yang sangat lebat selama 2 jam,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Mengulas lanjut, Kon Yeow memberitahu, penyelesaian jangka pendek bagi mengurangkan masalah banjir adalah dengan membersihkan sampah sarap yang tersumbat di parit tepi jalan supaya aliran air hujan dapat mengalir dengan lancar.

“Penyelesaian jangka panjang adalah dengan menaiktaraf pembentung di parit Jalan Tun Dr. Awang, Daerah Barat Daya dan sistem saliran di tepi jalan, yang mana masih dalam peringkat reka bentuk oleh Jurutera Perunding.

“Bagi kawasan Sungai Pinang, Kerajaan Negeri telah memohon peruntukan kepada Kerajaan Pusat untuk melaksanakan Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Pinang, dan Kerajaan Negeri masih menunggu keputusan daripada Kerajaan Pusat berkenaan status permohonan ini,” jelas beliau.

}