Run The Talk, YDP kerah kakitangan laksana pengasingan sisa di punca di rumah

SEBERANG JAYA – Yang di-Pertua Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Dato’ Maimunah Mohd. Sharif mengerah semua 4,111 kakitangan pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan supaya mengamalkan Dasar Pengasingan Sisa Di Punca di rumah kediaman masing-masing.

“Saya nak semua staf MPSP bukan ‘Walk The Talk’ lagi, tapi ‘Run The Talk’ seperti semua ketua jabatan yang mula melaksanakan amalan pengasingan sisa di punca ini di rumah mereka dahulu.

“Harapan saya, dengan jumlah staf MPSP hampir 5,000 orang dapat menjadi duta MPSP serta menjadi contoh kepada rakyat negeri Pulau Pinang, terutama di Seberang Perai dalam meningkatkan kesedaran terhadap amalan pengasingan sisa di punca ini,” katanya pada Majlis Perhimpunan Korporat MPSP di lobi Kompleks Ibu Pejabat MPSP dekat Bandar Perda baru-baru ini.

Hadir sama, Setiausaha Perbandaran, Sr. Rozali Mohamud dan barisan Ahli Majlis MPSP.

Maimunah memberitahu, Jabatan Perkhidmatan Perbandaran (JPP) MPSP dalam tiga operasi mulai 30 Julai hingga 31 Ogos lalu telahpun membuat pemeriksaan di semua rumah kediaman Ketua Jabatan dan barisan pegawai MPSP (1 dan 8 Oktober 2016).

Menurut beliau, daripada 15,749 premis yang melaksanakan Dasar Pengasingan Sisa Di Punca, setiap rumah dalam seminggu secara purata menghasilkan kira-kira 0.5 kilogram sisa kitar semula.

Dasar Pengasingan Sisa Di Punca dilaksanakan sejak 1 Jun lalu dan akan dikuatkuasakan sepenuhnya pada 1 Jun 2017.

} else {