Satupadukan ahli pasukan, bergerak ke arah kecemerlangan, seru Exco

GEORGE TOWN – Seramai 145 peserta terdiri daripada wakil-wakil persatuan sukan negeri, jurulatih sukan, universiti dan kolej pengajian tempatan, jabatan dan agensi sukan negeri serta pegawai sukan mengambil bahagian dalam Seminar Pengurusan Sukan di sini baru-baru ini.

Seminar yang berlangsung selama tiga hari itu dianjurkan Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang (MSNPP) dengan kerjasama MMK Belia dan Sukan.

Exco Belia dan Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti, Chong Eng yang hadir merasmikan seminar tersebut menzahirkan rasa bangga dengan keutuhan bidang sukan di negeri ini.

“Sangat penting untuk kita semua meneruskan kerja keras ini (dalam bidang sukan) bagi melonjakkan diri daripada baik kepada hebat.

“Keghairahan, minat dan kapasiti setiap orang (yang menghadiri seminar) sangat dituntut dalam memastikan kejayaan pada masa hadapan.

“Saya harap dengan penganjuran seminar ini, para peserta dapat menimba ilmu dan melaksanakan pengurusan dengan efektif serta efisien,” ucapnya pada majlis berkaitan.

Hadir sama, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan), Dato’ Ghazali Derahman dan Pengarah MSNPP, Frederick Tan.

Mengulas lanjut, Chong Eng berharap pimpinan dalam bidang sukan dapat menggembleng usaha untuk menyatupadukan ahli pasukan serta bergerak dalam satu nada ke arah kecemerlangan.

“Pimpinan dalam bidang sukan ini bukan sahaja mempunyai kebolehan memimpin, malah juga minat dan mampu menyatupadukan ahlinya.

“Persatuan-persatuan sukan atau agensi berwajib pula perlu berkerjasama dan menaruh kepercayaan terhadap pengurusan sukan yang cemerlang.

“Oleh itu, saya berharap seminar ini dapat memberikan sedikit-sebanyak ilmu dan perkongsian terutama dalam perancangan, penyusunan, kawalan, perbelanjaan serta penilaian termasuk aktiviti dalam bidang kuasa masing-masing,” jelasnya.

Bertemakan Pengurusan Efektif ke Arah Kecemerlangan Prestasi, seminar turut dihadiri oleh Jurulatih Eksekutif dan Korporat Antarabangsa, Dr. Michel Gagne; Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Low Beng Choo; Penolong Setiausaha MOM, Datuk Sieh Kok Chi; Pengarah Agensi AntiDoping Malaysia (ADAMAS), Datuk Ramlan Abd. Aziz; Pesuruhjaya Sukan Malaysia, Datuk Zaiton Othman serta beberapa wakil daripada Majlis Sukan Negara Malaysia.