‘Saya Bukan Pengotor’, mesej kempen kebersihan MPSP

Teks & Gambar : ZAINULFAQAR YAACOB

PERAI – Dua Ahli Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) mengedar baju-t percuma tertera mesej ‘Saya Bukan Pengotor’ kepada penduduk flat Taman Teluk Indah yang menyertai acara gotongroyong di sini baru-baru ini.

Mereka berkaitan, P. David Marshel dan M. Satees menyatakan keyakinan masing-masing bahawa kempen radikal sebegitu mampu mengubah sikap dan cara berfikir penduduk di kawasan yang dikenali sebagai flat terkotor, dalam senarai tinjauan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) baru-baru ini.

“Pemasangan papan tanda kempen kita, menyamakan mereka yang membuang sisa di tapak sampah haram dengan karikator monyet sebelum ini pun dianggap radikal.

“Tetapi, kempen radikal itu akhirnya mendapat maklum balas positif daripada penduduk setempat kerana berjaya menimbulkan kesedaran komuniti dan menyelesaikan masalah tapak sampah haram yang terbabit.

“(Taman Teluk Indah) ini kawasan penempatan swasta, dan kita (MPSP) datang bantu menganjurkan gotong-royong dan kempen kebersihan, selepas mendapat kebenaran daripada JMB (Jawatankuasa Pengurusan Bersama).

“Kempen saya senang saja, kita bagi perkataan menghina kepada pengotor yang tidak bertanggungjawab, supaya penduduk setempat yang bertanggungjawab boleh bersama menjayakan kempen kebersihan di flat ini,” jelas David Marshel kepada pemberita baru-baru ini.

Hadir sama, Pengerusi JMB Blok E1 & E2 Taman Teluk Indah, K. Sivakumar serta beberapa pegawai dari Pejabat Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perai merangkap Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy.

Selain membersihkan kawasan lapang, parit longkang dan kaki lima bawah bagi kedua-dua blok flat 21 tingkat itu, kedua-dua ahli majlis berkenaan turut menyempurnakan acara pengindahan kawasan dengan menanam beberapa pokok teduh di sini.

Ketika kedua-dua ahli majlis berkenaan membawa wartawan meninjau sendiri bahagian dalam yang telahpun dicuci di sini, kelihatan sebungkus sisa pepejal dibuang dari tingkat atas flat itu. Mengulas lanjut, David Marshel memberitahu, MPSP akan mengadakan suatu mesyuarat pada minggu hadapan, dengan menjemput JMB, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) setempat, wakil pejabat Ramasamy, wakil Pesuruhjaya Bangunan MPSP hatta polis sendiri untuk mencari solusi secara bersepadu dalam isu berbangkit ini.

Tambah beliau, mesyuarat itu juga akan berbincang mengenai soal penguatkuasaan berwajib masing-masing, dalam pelaksanaan Akta Pengurusan Strata 2013, yang mula dikuatkuasakan pada 12 Jun lalu, selepas mendapat kelulusan Pihak Berkuasa Negeri.

Katanya, Akta 757 itu membolehkan kedua-dua tuan tanah serta penyewa untuk dibawa ke mahkamah, berbanding akta lama yang membenarkan tindakan ke atas tuan tanah sahaja.

“Yang dibuang dari (tingkat) atas flat ini bukan sahaja bungkusan lampin pakai buang terpakai, malah peti sejuk rosak, tilam besar dan (rangka) katil juga.

“Sementara menunggu rancangan pemasangan CCTV, kita akan membuat risikan dan berusaha merakam pengotor yang tidak bertanggungjawab ini.

“Jika ada rakaman, saya sendiri berjanji untuk membuat aduan polis, bahawa mereka terbabit ini melakukan cubaan membunuh pengunjung setempat yang berada di bahagian bawah flat ini, sungguhpun perbuatan pengotor yang tidak bertanggungjawab ini hanya membuang sampah seberat 10 kilogram atau lebih dari bahagian atas flat di sini.

“Saya juga akan berbincang dengan pihak surau dan masjid serta kuil berdekatan, supaya elemen kebersihan ini turut diterapkan dalam ceramah-ceramah keagamaan kepada penduduk setempat di sini,” ujar beliau.

Seramai 48 penduduk setempat berdaftar menyertai acara gotong-royong tersebut, selain dibantu 20 Pekerja Am MPSP serta pekerja kontrak JMB (5).}