“Saya lebih rela mati berdiri daripada hidup melutut” – Guan Eng

Admin
KETUA Menteri mendapat sokongan padu barisan kepimpinan dan rakyat selepas dibebaskan melalui ikat jamin RM1 juta dengan seorang penjamin oleh Mahkamah Tinggi Pulau Pinang pada 30 Jun lalu.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN – Ketua Menteri Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, beliau tidak akan tunduk pada pendakwaan terpilih yang diketuai oleh Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali serta membabitkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Beliau berkata demikian selepas sesi pertuduhan dua kes di Mahkamah Tinggi 3, iaitu berhubung pembelian rumah RM2.8 juta di Jalan Pinhorn serta perlingkungan semula daripada Zon Pertanian kepada Zon Perumahan Am yang dikaitkan dengan seorang orang kena tuduh (OKT) lain, Phang Li Koon.

“Saya tidak akan tunduk pada permainan politik kotor dan ganas ini untuk memusnahkan reputasi saya dan imej Pulau Pinang sebagai negeri paling bersih dan paling baik urus tadbirnya di Malaysia.

“BN (Barisan Nasional) boleh dakwa saya, tetapi tidak akan dapat membunuh iltizam saya demi membebaskan negara saya daripada rasuah.

“Saya lebih rela mati berdiri daripada hidup melutut,” tegasnya yang juga Setiausaha Agung DAP pada sidang media bertarikh 30 Jun lalu di sini.

Pada 30 Jun lalu, Guan Eng dituduh di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009 (Akta 694) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 Akta yang sama serta Seksyen 165 Kanun Keseksaan (Akta 574).

Seksyen 23 Akta SPRM akan membawa hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan, atau RM10,000 mengikut manamana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Seksyen 165 Kanun Keseksaan (Akta 574) membawa hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun, atau denda, atau kedua-duanya sekali.

Di kamar perbicaraan sama, Li Koon dituduh bersubahat di bawah Seksyen 109 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang dibaca bersama Seksyen 163 kanun sama, membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Seksyen 109 Kanun Keseksaan pula membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Guan Eng dibebaskan dengan ikat jamin RM1 juta dengan seorang penjamin. Selain itu, Guan Eng turut dikenakan syarat tambahan iaitu wajib memaklumkan kepada Pendakwaraya dan Mahkamah dua hari sebelum beliau ke luar negara.

Manakala, Li Koon dibenarkan ikat jamin RM200,000 dengan seorang penjamin, tanpa syarat tambahan.

Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Azmi Ariffin menetapkan pagi 22 September ini sebagai sesi pengurusan kes susulan daripada permintaan barisan pembelaan bagi Guan Eng dan Li Koon untuk satu penangguhan kepada permohonan Peguam Negara bagi perbicaraan bersama Peguam Negara memohon kes Guan Eng dan Li Koon untuk dibicarakan bersama.

Namun, Gobind Singh Deo yang mewakili Guan Eng dan Datuk K. Kumarendran yang mewakli Li Koon memohon supaya kedua-dua kes ditetapkan untuk pengurusan kes pada 22 September 2016 bagi memberi peluang kepada peguam-peguam pembelaan meneliti permohonan oleh Peguam Negara.

Selain Gobind, pasukan pembelaan bagi pihak Guan Eng dianggotai R.S.N. Rayer yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Delima, Ramkarpal Singh yang juga Ahli Parlimen Bukit Gelugor, E. Subramaniam, M. Kulasegaran dan M. Manoharan.

Pasukan pembelaan bagi pihak Li Koon pula diketuai Kumarendran serta dianggotai Raj Shankar dan Dev Kumarendran dan Chetan Jethawani.

} else {