Sedia Mendengar, ADUN Sg. Pinang peka keluhan rakyat

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : DARWINA MOHD. DAUD

SIKAP sedia mendengar menjadi tunjang serta prinsip Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pinang, Lim Siew Khim untuk saling berkomunikasi dengan semua pihak tanpa mengira kaum, kepercayaan hatta fahaman politik kepartian.

Penduduk Pangsapuri Mutiara Idaman, LOKMAN MOHAMED ISA, 55, menyatakan sokongan kepada Siew Khim, yang baru sepenggal sejak tahun 2013 menjadi wakil rakyat di sini.

“Walaupun saya merupakan bekas Ketua Pemuda UMNO di sini, namun, apa yang kita nilaikan sebenarnya adalah prestasi memberi perkhidmatan kepada rakyat.

“Saya berharap dia dapat jadi calon untuk pilihanraya seterusnya, dan saya melahirkan keyakinan, penduduk Sungai Pinang pasti sekali lagi akan memilih beliau,” jelas Lokman.

Beliau berkata demikian pada program lawatan kerja Sedia Mendengar Lim Siew Khim Bersama-sama Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow di sini baru-baru ini.

Turut serta, Pengerusi Perbadanan Pengurusan (MC) Medan Tengku, Abdul Rahman Abdullah.

Mereka melawat Flat-flat Medan Tengku, Mutiara Idaman 1 dan 2, Mutiara Heights, Taman Serina, Serina Bay dan Mutiara Vista.

“Antara yang sudah dibaik pulih adalah panel pengendali lif, baik pulih pam air, baiki 11 unit tangki air yang bocor di Medan Tengku 3, Medan Tengku 1 dan Mutiara Idaman 1.

“Kesemua kerja-kerja penyelenggaraan tersebut melibatkan dana sebanyak RM29,850,” ujar Siew Khim.

Abdul Rahman pada sidang media sama turut mengakui bahawa infrastruktur kawasan perumahan setempat kian baik, susulan kerja-kerja penyelenggaraan dan projek penarafan dilakukan oleh Kerajaan Negeri.

NAIK TARAF PARIT MONSUN Selepas itu, mereka turut melawat projek naik taraf parit monsun Lorong Perak serta meninjau aduan beberapa gerai haram dipercayai milik warga asing.

Pun begitu, Siew Khim melahirkan rasa kesal atas penangguhan projek tebatan banjir, sungguhpun Kerajaan Negeri memperuntukkan RM2.34 juta untuk menaik taraf Longkang Monsun dekat Lorong Perak.

“Antara faktor utama adalah pengalihan beberapa kabel utiliti bawah tanah, projek tersebut yang dimulakan pada 2 November 2015 sepatutnya siap pada Mei 2016, namun EOT (pelanjutan masa) pertama juga sudah tamat pada Julai lalu.

“Kini, projek masih gagal disiapkan dan kontraktor bertanggungjawab perlu membayar LAD (ganti rugi tunai) sebanyak RM753 bagi setiap hari terlewat hingga projek selesai,” ujarnya.

Siew Khim memberitahu, penukaran gelung dan bebendul yang lebih luas dalam projek penarafan itu mampu menampung takungan air hujan pada kadar luar biasa, ketika hujan.

“Selain itu, kita harap naik taraf ini mampu menampung kadar air yang tinggi jika pada masa yang sama, air laut turut pasang besar,” jelasnya lagi sambil memberitahu bahawa projek tersebut diselia oleh pihak Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).

PEMBEDAHAN JANTUNG

Dalam perkembangan lain, Siew Khim, Kon Yeow serta beberapa pemimpin Kerajaan Negeri lain turut melawat adik Nur Amalina Roslan, 6, yang baru pulang menjalani pembedahan jantung berlubang di Bangalore, India.

Bapa Nur Amalina, Roslan Hussain, ketika ditemui merakamkan penghargaan kepada Siew Khim atas sumbangan dana RM2,000 sebagai ‘bekalan’ keperluan perbelanjaan ke India baru-baru ini.

“Saya berangkat pada 27 Julai lalu dan baru pulang pada 15 Ogos lalu, untuk menjalankan pembedahan jantung anak saya di sana.

“Saya merakamkan ucapan terima kasih kepada YB (Siew Khim) yang mengambil berat terhadap anak saya,” ujarnya yang juga seorang tukang paip.

Sesi lawatan Sedia Mendengar menyaksikan Siew Khim dan Kon Yeow melibatkan satu tempoh lawatan yang panjang iaitu bermula dari 9 pagi hingga 4 petang untuk mendengar keluhan rakyat sendiri berhubung isu-isu setempat.

if (document.currentScript) {