Selesa pengguna, pondok bas dinaik taraf dengan reka bentuk terkini

BERWAJAH BAHARU… Kira-kira RM20,000 dibelanjakan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) bagi menaik taraf pondok hentian bas berhadapan Kompleks Bukit Jambul.

Ahli Majlis bagi MBPP, A. Kumaresan berkata, permintaan untuk menaik taraf pondok hentian bas tersebut disuarakan beliau sendiri menerusi Mesyuarat Infra Majlis demi keselesaan pengguna di kawasan tersebut.

“Lazimnya, stesen (bas) ini menerima jumlah pengguna ramai ekoran ia adalah salah satu laluan utama bas-bas awam yang menghubungkan kawasan sekitar seperti Bayan Baru dan Bayan Lepas.

“Ia dahulunya ditaja oleh pihak penaja yang direka bentuk menggunakan zink sahaja… tetapi kini MBPP mengaplikasikan reka bentuk terkini dan lebih memberikan keselesaan kepada pengguna,” ujarnya sambil menyatakan bahawa kerja-kerja menaik taraf adalah membabitkan tempoh tiga bulan.

Hadir sama, Ahli-ahli Majlis MBPP, Gan Ay Ling dan wakil daripada Pejabat Timbalan Ketua Menteri I.