Semangat kekeluargaan kurang utuh punca gejala sosial dalam komuniti – Exco

Admin

Teks & Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD

BUKIT MERTAJAM – Semangat kekeluargaan yang kurang utuh mampu menyumbang kepada pelbagai gejala sosial seperti penyalahgunaan dadah, jenayah ragut, rogol dan sebagainya dalam komuniti setempat di negeri ini.

Exco Belia & Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti, Chong Eng berkata demikian pada Majlis Sambutan Hari Keluarga Antarabangsa Peringkat Seberang Perai 2016 di perkarangan Stadium Sukan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) dekat Jalan Betik di sini baru-baru ini.

“Dalam suasana menikmati proses kemajuan dan pembangunan pesat sekarang ini, nilai-nilai murni dan semangat kekeluargaan yang menjadi amalan kita selama ini kian terhakis.

“Warga Pulau Pinang seharusnya mengamalkan bukan sahaja di rumah, tetapi juga di luar rumah supaya dapat melahirkan sikap prihatin, hormat – menghormati bertolak ansur, amanah dan telus sesama kita,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Lalang ketika membahaskan tema sambutan kali ini, iaitu ‘Keluarga, kehidupan yang sihat dan masa depan yang mampan’.

Setiausaha Majlis MPSP, Sr. Rozali Mohamud serta beberapa Ahli Majlis bagi pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan turut sertai majlis sambutan tersebut. Demi menjadikan Pulau Pinang negeri pintar, ujar Chong Eng, Kerajaan Negeri senantiasa menggalakkan warganegeri supaya mengutamakan gaya hidup sihat dan rajin bersenam.

“Bagi mencapai matlamat tersebut, warganegeri disarankan untuk menjalankan aktiviti fizikal dan kekeluargaan dengan lebih kerap seperti berkunjung ke tamantaman rekreasi dan berkelah.

“Justeru, MPSP akan mengedarkan risalah kawasankawasan rekreasi dan riadah di Seberang Perai yang sesuai digunakan untuk mengukuhkan ikatan kekeluargaan dan meningkatkan tahap kesihatan,” jelas beliau. *Lampiran risalah di muka surat 23