Semarakkan integriti awam, MBM MPSP ‘live Facebook’

Admin

SEBERANG JAYA – Buat julungjulung kalinya, Mesyuarat Biasa Majlis (MBM) bagi Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) yang berlangsung baru-baru ini disiarkan secara langsung di laman Facebook rasmi pihak berkuasa tempatan (PBT) tersebut di sini.

Mengulas lanjut, Yang di-Pertua MPSP, Dato’ Maimunah Mohd. Sharif berharap inisiatif terbaru itu akan terus meningkatkan amalan integriti serta mutu perkhidmatan anggota-anggota MBM PBT berkenaan.

“Tujuannya (siaran langsung) adalah untuk memberi ketelusan, biar Mesyuarat Penuh MPSP ini, selain boleh disertai oleh semua orang secara terbuka…keterbukaan ini juga boleh dicapai melalui live streaming di Facebook @mpsp.penang,” jelasnya selepas mempengerusikan MBM Majlis di Kompleks Ibu Pejabat MPSP dekat Bandar Perda di sini baru-baru ini.

Dalam perkembangan lain, Maimunah turut memuji mutu perbahasan barisan Ahli Majlis MPSP yang begitu interaktif, ketika sesi perbahasan isu pusat hiburan, kafe siber, mesin simulator judi yang beroperasi tanpa lesen di sekitar Seberang Perai.

Beliau memberitahu, MPSP akan bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi membanteras iklaniklan peminjam wang ‘along’ yang dipaku pada pokok sekitar bahagian Seberang Perai, secara bersepadu.

“Buat masa kini, sebanyak 42 nombor telefon telahpun dikenal pasti oleh Majlis untuk tindakan selanjutnya dan kita (MPSP) telahpun dikemukakan kepada SKMM pada 24 Ogos lalu,’’ jelasnya.

Pada 14 Januari lalu, sebanyak 357 iklan ditanggalkan dalam operasi MPSP bersama-sama PDRM. Dalam operasi bersepadu pada 16 hingga 18 Ogos lalu pula, sebanyak 566 iklan yang dipakukan di 109 pokok turut ditanggalkan.

MPSP secara puratanya menanggalkan sejumlah 68,863 iklan saban tahun, tanpa penyelesaian konkrit sebelum ini.