SEMICON, platform perkongsian industri semikonduktor dan elektronik

Admin

PANTAI JEREJAK – Lebih 7,500 pengunjung mengunjungi pameran rangkaian perkilangan elektronik terkemuka di Asia Tenggara, SEMICON Southeast Asia 2017 (SEMICON SEA 2017) bertempat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Setia SPICE pada 25 hingga 27 April lalu.

Disempurnakan oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Sri Mustapa Mohamed bersama-sama Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng, SEMICON ASIA 2017 merupakan platform perkongsian pandangan terhadap inovasi teknologi termasuk Internet of Things (IoT) yang bakal membawa perubahan besar kepada sektor perkilangan serta membuka pasaran baru bagi ‘Disruptive Technology’.

Guan Eng berkata, Kerajaan Negeri sentiasa menyokong pandangan bernas dalam membangunkan industri semikonduktor dan elektronik.

“Perangkaan World Semiconductor Trade Statistics (WSTS) menunjukkan pertumbuhan pasaran semikonduktor tahun ini adalah memberangsangkan iaitu peningkatan 6.5 peratus atau USD361 bilion.

“(Dan) pertumbuhan pesat dijangkakan adalah bagi produk-produk analog, sensor bersilang dan memori pintar dengan kebanyakan syarikat seperti Globetronics, Vitrox, Pentamaster, Inari dan Elsoft yang berpangkalan di Pulau Pinang dan mempunyai kapasiti untuk membekalkan produk-produk terbabit bagi memenuhi permintaan pasaran global,” ucapnya pada Majlis Perasmian SEMICON SEA 2017 di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Mohd. Rashid Hasnon yang juga Exco Pembangunan Industri & Perdagangan Antarabangsa; Presiden SEMI SEA, Ng Kai Fai; Pengerusi Semiconductor Fabrication Association of Malaysia (SFAM), Datuk Peter Halm dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Datuk Azman Mahmud.