Seni khat atas kaca Khalid tumpu reka bentuk Islamik

: KHALID Sarpin.
KHALID Sarpin.

 

Oleh : YAP LEE YING

Gambar : DARWINA MOHD. DAUD

 

MINAT dalam kerja tangan dan reka bentuk Islam mendorong Khalid Sarpin, 51, meneroka bidang perusahaan yang telah diusahakan beliau kira-kira 20 tahun lalu.

 

Baginya, walaupun terpaksa berdepan dengan kos kenaikan harga mentah ekoran caj Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) sejak April lalu, beliau tidak mudah berputus asa sebaliknya merancang strategi pemasaran yang lebih ‘realistik’.

 

“Buat berdasarkan kos yang orang mampu beli, kalau design (reka bentuk) teruk-teruk dan kos mahal, tidak ada gunanya. Sebaliknya, kena design (reka bentuk) cantik dan kos berpatutan,” katanya yang merupakan usahawan seni khat atas kaca di Penaga, Seberang Perai Utara (SPU) kepada Skuan Jalan-jalan Buletin Mutiara baru-baru ini.

 

Mengulas lanjut, Khalid yang agak pemalu orangnya memberitahu bahawa antara barangan mentah yang mengalami kenaikan harga sekali ganda adalah jubin, cat dan bahan-bahan campuran yang digunakan untuk proses ‘blasting‘.

 

“Semua bahan ini adalah diimport dan kenaikannya adalah amat ketara.

 

“Walaupun harga bahan naik, pelanggan bagaimanapun tidak bersedia untuk membayar produk yang lebih tinggi harganya.

 

“Ini ditambah lagi dengan persaingan produk-produk serupa dari China, Syria dan Pakistan,” jelasnya yang mana pemasarannya adalah tertumpu di Penaga, Setiawan, Perak dan Kuala Lumpur kini.

 

Menurut Khalid, kemahiran yang dimiliki beliau adalah hasil usaha dirinya sendiri.

 

“Saya minat dengan kerja-kerja tangan, minat dengan reka bentuk Islamik dan minat berniaga, tetapi tidak minat makan gaji bawah orang.

 

“Saya belajar sendiri menerusi kawan-kawan dan bagi corak reka bentuk, saya rujuk kepada buku-buku, internet dan hasil lawatan ke masjid-masjid.

 

“Memang lama untuk memahiri teknik kerja tangan ini. Saya banyak kali cuba dan barulah jadi. Proses paling susah adalah untuk membuat design (reka bentuk),” jelas beliau yang dikurniakan lapan cahaya mata.

ANTARA hasil kerja yang dihasilkan.
ANTARA hasil kerja yang dihasilkan.

Bagi proses pembuatan, Khalid menyatakan bahawa langkah pertama adalah membuat reka bentuk di dalam komputer. Kemudian, mesin plotter digunakan untuk memotong pelekat sebagaimana reka bentuk berkaitan.

 

“Pelekat yang siap dipotong kemudian dilekatkan di atas kaca atau jubin (bergantung kepada bahan yang ingin digunakan); pelekat ‘berlebihan’ dibuang dan ‘baki’ yang tinggal adalah reka bentuk yang dibuat sebelum ini.

 

“Kaca atau jubin berpelekat kemudian dimasukkan ke dalam mesin blasting untuk ‘ditembak’ (diukir) mengikut ukiran yang telah dibuat sebelum ini. Tempoh masa proses ‘tembak’ adalah bergantung kepada saiz serta kekerasan kaca atau jubin yang digunakan.

 

“Setelah siap ‘ditembak’, jubin atau kaca akan dicat dan akhir sekali adalah proses pemasangan mengikut tempahan pelanggan,” jelasnya.

 

Sepanjang tempoh penglibatan Khalid dalam bidang tersebut, beliau tidak menafikan bahawa ketelitian merupakan faktor penting dalam penghasilan hasil kerja berkualiti.

 

“Saya masih ingat pernah tersilap tulis ayat pada ukiran. Maka, tiada pilihan lain selain buat semula kesemuanya.

 

“Selain itu, perlu terus belajar untuk hasilkan reka bentuk unik dan lain daripada orang lain.

 

“Walaupun persaingan pasaran tempatan tidak begitu dirasai, namun, apa yang ketara adalah (persaingan) daripada warga asing yang sedikit sebanyak merosakkan harga pasaran sedia ada,” ujar beliau.

 

Bagi perancangan masa depan, sebagai usahawan, Khalid yang banyak menumpukan kepada reka bentuk Islamik ingin melihat perniagaannya bertambah maju dan sebolehnya diturunkan kepada anak-anak beliau.

 

“Saya ingin menumpukan kepada kontrak hiasan dalaman rumah ataupun masjid-masjid yang mana prospeknya adalah lebih tinggi.

 

“Bagi anak-anak mewarisi kerja tangan saya, saya masih belum dapat lihat sebab mereka masih kecil lagi,” katanya yang banyak memperoleh dorongan keluarga untuk terus berkecimpung dalam bidang berkenaan sehingga kini.

ANTARA hasil kerja yang dihasilkan.
ANTARA hasil kerja yang dihasilkan.

Bagi tempahan, tempoh sekurang-kurangnya dua minggu adalah diperlukan dan musim paling sibuk bagi Khalid adalah sebelum bermulanya bulan Ramadan setiap tahun.

 

Walaupun berdepan dengan pelbagai persaingan dalam bidang keusahawanan tersebut, apa yang lebih penting kepada beliau adalah kepuasan hasil reka bentuk yang dihasilkan.

 

Pernah menceburi bidang perniagaan penjahitan, menjual telekung dan kopiah, namun, seni khat atas kaca tetap memberi kepuasan kepada diri Khalid terutamanya apabila hasil kerja seninya tersergam indah di dinding-dinding masjid serata tempat.

 

 

INFO :

253, Permatang Keriang,

13100 Penaga, SPU.

013 – 471 9096 / 011 – 106 95988

 }