Serah e-waste, dapat baucar tunai

GEORGE TOWN – Bagi menggalakkan orang ramai ‘menjual’ barangan elektronik yang tidak lagi ingin digunakan menerusi kaedah yang betul, Kerajaan Negeri melalui Penang Green Council (PGC) telah melancarkan Kempen Kesedaran dan Pengumpulan Sisa tersebut di sini baru-baru ini.

Ahli Lembaga Pengarah PGC merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bungah, Teh Yee Cheu berkata, melalui kempen tersebut, orang ramai kini boleh menyerahkan barang-barang elektronik terbuang (e-waste) kepada kedai elektronik Senheng dan SenQ terpilih di sini bagi petukaran baucar tunai.

“Setiap hari, terdapat banyak sisa elektronik yang tidak dilupuskan dengan cara yang betul dan sebahagiannya telah dilupuskan secara haram.

“Di Malaysia, sisa elektronik seperti peralatan elektrik, komputer peribadi, radio, televisyen, mesin basuh, penghawa dingin, pencetak dan lain-lain disenaraikan sebagai salah satu buangan terjadual dengan kod SW110 di bawah Peraturan-peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

“Situasi tersebut secara tidak langsung bakal memberi impak kepada kesihatan manusia, malah, juga mengancam alam sekitar,” ujarnya pada penganjuran Kempen Kesedaran dan Pengumpulan Sisa Elektronik di Pasar dan Balai Rakyat Tanjung Bungah di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Pengurus Besar PGC, Thing Siew Shuen.

Penganjuran tersebut turut memperoleh kerjasama dari syarikat kitar semula yang mempunyai kemudahan pemerolehan penuh luar tapak (off-site recovery facilities) yang dilantik oleh Jabatan Alam Sekitar Malaysia (JAS), Shan Poornam Metals Sdn. Bhd..

Tambah Yee Cheu, mengikut pangkalan data sisa elektronik sedunia, Malaysia didapati menghasilkan 415,000 metrik tan peralatan elektrik dan elektronik pada tahun 2012 dan menjana sejumlah 289,230 metrik tan atau 9.96 kilogram (kg) bagi setiap penduduk.

Mengulas lanjut, beliau menyatakan bahawa sisa elektronik terkumpul hanya akan dirawat di lokasi yang dilengkapkan dengan kemudahan berlesen dari JAS.

“Orang ramai digalakkan untuk melupuskan sisa elektronik dari isi rumah melalui kontraktor kitar semula yang dilantik.

“Insentif dalam bentuk baucar atau bayaran tunai akan diberi bagi setiap e-waste yang dilupuskan,” jelas Yee Cheu.

if (document.currentScript) {