Serambi PI: “Free Market” pupuk silaturahim masyarakat

Admin

Oleh : ZAIRIL KHIR JOHARI

Ahli Parlimen Bukit Bendera merangkap Pengarah Eksekutif Penang Institute

TIDAK ramai dalam kalangan kita sedar betapa banyak barangan yang masih elok disimpan dan tidak digunakan di dalam rumah masing-masing. Lebih malang lagi jika barangan ini kemudiannya terbiar usang atau berakhir di tempat pelupusan sampah.

Maka, pada 25 Jun 2016 yang lalu telah berlangsung program “free market” di Medan Selera Desiran Tanjung, Tanjung Tokong yang menjemput orang ramai untuk membawa barangan terpakai yang masih elok untuk diberikan kepada orang lain. Tidak ada had barangan yang boleh disumbangkan dan tidak ada had barangan yang boleh diambil. Semuanya terpulang kepada pemberi dan penerima.

Yang menariknya, free market juga merupakan istilah kapitalisme yang membawa maksud ekonomi berdasarkan keuntungan. Pun begitu, free market yang dianjurkan ini adalah usaha untuk memperkenalkan citra sosialisme yang berjiwa rakyat. Oleh itu, ia sekaligus mencerminkan konsep sosial demokrasi yang menerimapakai mekanisme pasaran bebas (free market), namun menumpulkannya dengan ciriciri sosialisme seperti kebajikan awam dan pengagihan semula harta secara saksama.

Program yang berlangsung antara jam 9 pagi hingga tengahari ini merupakan kerjasama antara Pejabat Ahli Parlimen Bukit Bendera dengan Ahli Majlis MBPP Syerleena Rashid.

Program yang julung kali diadakan ini telah berjaya menarik lebih seratus orang dari pelbagai latar belakang yang membawa pelbagai barangan untuk diberikan secara percuma kepada penduduk tempatan. Antaranya pakaian yang beraneka jenis, buku, permainan kanak-kanak, dan kelengkapan dapur termasuk pinggan mangkuk. Acara ini bukan sahaja menarik masyarakat sekitar Bukit Bendera, malahan juga ada penyumbang yang datang sejauh Kulim.

Free Market ini merupakan sebahagian daripada inisiatif Cleaner, Greener Penang yang bertujuan untuk mendidik masyarakat untuk saling berkongsi. Tambahan pula, acara ini sangat bertepatan dengan semangat bulan Ramadan yang menyeru agar masyarakat memperbanyakkan sedekah dan memberi kepada yang memerlukan.

Di samping itu juga, acara ini merupakan antara usaha Pejabat Ahli Parlimen Bukit Bendera dan MBPP untuk mempromosikan Medan Selera Desiran Tanjung yang terletak di Tanjung Tokong.

Program free market ini sudah tentu tidak akan berjaya tanpa kerjasama dan penyertaan masyarakat, khususnya penyumbang dan pengunjung yang hadir beramai-ramai untuk memeriahkan acara ini. Jika berkesempatan, program ini akan dianjurkan lagi pada masa hadapan.