Serambi PI: Hapuskan Sekolah vernakular: Bersediakah kita?

Oleh: HARIS ZUAN
Ahli Majlis Majlis
Perbandaran Pulau Pinang

 

ISU sistem pendidikan di negara ini seringkali tengelam timbul dengan bersama angin ribut dan ombak politik kepartian di negara ini. Sering kali apabila gabungan politik UMNOBarisan Nasional goyah, maka tuntutan berkenaan sekolah vernakular, bahasa ibunda dan hak politik mula kedengaran.

Anehnya, isu ini kembali ditimbulkan oleh Mohamad Azli Mohemed Saad, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Petaling Jaya Utara yang mendakwa SKJC, sekolah berasaskan bahasa ibunda, merupakan punca perkauman di negara, sedangkan beliau terlupa bahawa beliau mewakili parti berasaskan perkauman yang jauh lebih merosakkan.

Tambah aneh lagi apabila Presiden UMNO yang juga Perdana Menteri Malaysia, Najib Razak berkata bahawa masyarakat negara ini tidak berhak untuk membuat tuntutan jika tidak menyokong Barisan Nasional. Nampaknya Perdana Menteri telah terkeliru antara kesetiaan terhadap negara dan parti politik.

Namun kenyataan bebal ini tidak terlalu aneh jika memperkirakan fakta bahawa sejak awal, Barisan Nasional tidak berminat untuk membincangkan sistem pendidikan negara ini dengan serius. Meskipun menyedari bahawa sistem pendidikan pelbagai aliran di negara ini merupakan penerusan kerangka ‘colonial knowledge’ – sistem pentadbiran kolonial yang mengkategorikan Melayu sebagai satu kaum homogen dan secara tidak tidak langsung membina dikotomi antara Melayu-Bumiputera dengan bukan-Melayu Bumiputera yang terus diamalkan sehingga kini dalam pentadbiran, akademik dan sosial – Barisan Nasional bukan sahaja tidak pernah berniat untuk menyemak dan membugar sistem ini, malah meneruskan serta memperalatkannya sebagai senjata politik. Barisan Nasional tidak ikhlas apabila membincangkan persoalan integrasi nasional melalui sistem pendidikan.

Kelangsungan sebahagian konstruksi etnik dan perkauman bukan sahaja di peringkat epistemologi, malahan berubah kepada bentuk tindakan yang diinstitusikan dan berakar dalam amalan rasmi, birokrasi dan pembentukan dasar awam seperti bancian, akta tanah, sijil kelahiran, kad pengenalan, serta termasuklah sistem pendidikan negara ini.

Aturan ini umumnya tidak terganggu dan dicabar selepas zaman kolonial dan membina satu pandangan kaedah mendefisikan kategori kaum dan etnik melalui tanda fizikal dan budaya.

Faham masyarakat majmuk di Malaysia ini masih terikat dengan amalan pecah perintah kolonial yang memisahkan ketigatiga kaum utama di negara ini. Tahap tertinggi persefahaman institusi politik di negara ini adalah pada tahap consociationalism sematamata dan sering-kali digerakkan oleh elit politik dan pada masa sama mengukuhkan kedudukan politik mereka. Hal ini kerana isu pendidikan adalah isu yang mencakupi semua rakyat negara ini.

Maka tidak ada hasrat politik (political will) untuk membentuk satu sistem pendidikan yang seragam dan tunggal kerana sistem pendidikan vernakular yang ada kini merupakan tawar-menawar politik yang menguntungkan. Malah, cakap-cakap yang berbaur ugutan dan kecaman ini bukan baru dalam politik Malaysia. Umpamanya, isu 10% kuota bukan-Bumiputera dalam Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) yang merupakan institusi pendidikan khas kepada orang Melayu dengan kelengkapan dan infrastruktur yang relatifnya jauh lebih baik daripada kebanyakkan Sekolah Kebanggsaan, sering dijadikan bahan tawar-menawar politik apabila timbul gesaan daripada parti komponen Barisan Nasional atau mana-mana pihak lain untuk memberi kedudukan yang baik kepada bukan-Bumiputera.

Demikian juga 17 tuntutan Jawatankuasa Rayuan Pilihan Raya Persatuan-Persatuan Cina Malaysia (Suqiu) yang dikemukakan sebelum Pilihan Raya Umum 1999 yang selain menuntut reformasi dalam dalam sistem perundangan, hak asasi, dan liberalisasi ekonomi, Suqiu turut mendesak agar lebih banyak peruntukan diberikan kepada Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina), termasuklah memansuhkan Sekolah Wawasan dan menambahkan guru bahasa Cina. Dr Mahathir yang berdepan dengan kemarahan orang Melayu ketika itu kerana pemecatan Anwar Ibrahim telah menggunakan kesempatan ini untuk dilihat sebagai pelindung hak orang Melayu dengan menyelar Suqiu sebagai tidak ubah seperti komunis. Jelas, isu pendidikan vernakular dijadikan sebagai

tawarmenawar setiap kali berlaku gangguan terhadap keseimbangan permuafakatan politik dalam Barisan Nasional.

Faham kebangsaan yang tidak terselesai

Pada masa yang sama, sistem pendidikan Malaysia sukar untuk membentuk satu sistem pendidikan kebangsaan tunggal yang inklusif kerana faham kebangsaan di negara ini tidak terselesai dan sangat bermasalah. Bagi memahami kerumitan persoalan takrif kebangsaan ini, boleh dimulakan dengan melihat Dasar Kebudayaan Kebangsaan 1971 yang menjadi asas kepada pengenalan identiti kebangsaan Malaysia. Dasar ini mengariskan tiga teras utama kebudayaan kebangsaan;

1. Kebudayaan Rakyat Asal Rantau ini yang merangkumi kawasan Malaysia, Indonesia, Filipina, Singapura, Brunei, Thailand dan Kampuchea serta Kepulauan Selatan Pasifik (Polynesia, Melanesia dan Oceania sehingga Malagasi adalah merupakan bahagian utama dari kawasan tamadun atau budaya Melayu.

2. Unsur-unsur Kebudayaan Lain Yang Sesuai dan Wajar boleh diterima Kebudayaan sebagai sesuatu yang dinamik, sentiasa berubah-ubah melalui proses penyerapan dan penyesuaian secara berterusan.

3. Islam Menjadi Unsur Yang Penting Dalam Pembentukan Kebudayaan Kebangsaan Agama atau kepercayaan kepada Tuhan merupakan unsur penting dalam proses pembangunan negara serta pembentukan rakyat yang berakhlak dan berperibadi mulia.

Sumber: Dasar Kebudayaan Kebangsaan (1971)

 

Maka, selepas tahun 1971, perlahan-lahan Sekolah Kebangsaan mula mengambil elemen-elemen Islam untuk disesuai dan diinstitusikan dalam Sekolah Kebangsaan. Banyak semakan kokurikulum sistem pendidikan telah membolehkan budaya dan nilai Melayu serta agama Islam dijadikan teras kepada identiti Sekolah Kebangsaan. Pada peringkat Sekolah Menengah, mata pelajaran Agama Islam dijadikan mata pelajaran wajib kepada pelajar Muslim.

Demikian juga dalam aspek bahasa apabila bahasa Melayu diikat bersama dengan agama Islam sehingga bahasa Melayu yang seharusnya menjadi bahasa Kebangsaan rakyat Malaysia, sebahagiannya menjadi eksklusif kepada orang Melayu-Islam. Kes ini bukan sahaja merujuk kepada isu penggunaan nama Allah oleh bukan Islam dan terjemahan Bible dalam bahasa Melayu, tetapi juga larangan penggunaan beberapa istilah Arab yang ‘diMelayukan’ seperti haji, mufti, iman, fitrah. Larangan ini tentunya aneh apabila mengambil kira beberapa istilah agama yang digunapakai dalam bahasa Melayu berasal daripada bahasa Sanskrit, seperti syurga, neraka dan puasa. Malah istilah agama itu sendiri daripada bahasa Sanskrit.

Identiti Melayu dan kaitannya dengan Islam diperteguhkan lagi melalui Syarahan Perdana Syed Naquib Alatas Islam dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu di UKM pada tahun 1972. Menurut beliau, sebelum kedatangan Islam, meskipun masyarakat Melayu menganut ajaran Hindu, namun hanya diperingkat mata. Masyarakat Melayu tidak dapat menjangkau falsafah agama Hindu dan merangkum metafizik Hindu yang kompleks. Hanya selepas kedatangan Islam, masyarakat Melayu mula melibatkan diri dalam persoalan metafizik dan falsafah yang kompleks (Syed Naquib Alatas 1972:13).

Maka, faham kebangsaan negara ini sering ditakrifkan sebagai Melayu-Islam. Tambahan pula, konsep bangsa Malaysia yang ditawarkan oleh Dr Mahathir melalui Wawasan 2020 tidak dihuraikan oleh beliau. Pada masa yang sama, konsep alternatif yang ingin diajukan juga tidak pernah diberikan ruang untuk diwacanakan secara rasional, contohnya gagasan Malaysian Malaysia yang dibawa oleh DAP sering dimomok sebagai mencabar identiti kebangsaan sedia ada. Namun apakah identiti kebangsaan itu? Tidak juga pernah dinyatakan dengan tuntas.

Meskipun pada suatu ketika, sebelum adanya Dasar Kebudayaan Kebangsaan 1971, DAP melalui Lim Kit Siang cuba mengusulkan kebudayaan kebangsaan Malaysia yang berteraskan tiga kaum utama – Melayu, Cina dan India. Paling nyata adalah perdebatan antara Lim Kit Siang dengan pengasas Parti Gerakan, Syed Naquib Alatas berkenaan takrif persuratan Malaysia. Lim Kit Siang menyatakan bahawa persuratan Malaysia harus mencakupi penulisan dalam bahasa lain bahasa Melayu (umumnya bahasa Inggeris, Cina dan Tamil) oleh pengarang berbangsa Malaysia. Lim mempertegaskan bahawa kedudukan bahasa dan kebudayaan bukan Melayu juga harus ditempatkan sama tinggi dengan bahasa dan kebudayaan Melayu. Hal ini tidak dipersetujui oleh Syed Naquib yang berhujah bahawa semangat dan ideal sebuah bangsa tercermin pada persuratanya. Persuratan Malaysia yang tulen, ditulis dalam bahasa Melayu oleh pengarang yang tidak semestinya Melayu tetapi menyerap tradisi dan kebudayaan kepulauan Melayu.

Malangnya, perbahasan ini tidak disambut oleh lain-lain pihak baik dalam politik mahu pun akademik. Akhirnya polemik yang dicetuskan oleh Syed Naquib dan Lim kit Siang ini mati begitu sahaja. Sehingga kini, Malaysia tidak pernah menyelesaikan polemik identiti kebangsaan ini, baik di peringkat epistemologi, mahupun di peringkat perlaksanaan dasar negara.

Justeru, jika parti politik di Malaysia ini ikhlas mahu membentuk satu sistem pendidikan kebangsaan yang inklusif dan terhormat, maka langkah pertama selain daripada memperkasakan kualiti Sekolah Kebangsaan dan mengembalikan profesionalism guruguru, mereka juga harus mula membincangkan dengan serius apakah model kebangsaan yang ingin digunapakai.

Bukan sahaja di peringkat silibus, malah di peringkat falsafah pendidikan kebangsaan itu sendiri. Tanpa iltizam ini, persoalan sekolah vernakular dan identiti kebangsaan hanya tinggal momok politik untuk mengugut lawan dan membuktikan siapa lebih jaguh – tidak akan pernah ikhlas untuk membina bangsa Malaysia.

Maka, apabila datang cadangan bersabit soal kebangsaan, seperti menghapuskan Sekolah Jenis Kebangsaan, soalan pertama yang harus ditanya; bersediakah kita?