Serambi PI : Kaji semula kontrak persekutuan

Oleh: ZAIRIL KHIR JOHARI
Ahli Parlimen Bukit
Bendera merangkap
Pengarah Eksekutif
Penang Institute

 

DI saat Persekutuan Malaysia meraikan ulangtahun ke-51 ini, adalah sesuai kita merenungkan sistem tadbir urus negara kita dan bagaimana sistem ini telah membolehkan kita mencapai tahap kejayaan yang dinikmati pada hari ini, dan pada masa yang sama juga menghalang kita daripada merealisasikan potensi yang lebih besar.

Negara kita pada namanya mengamalkan sistem persekutuan, iaitu struktur politik yang secara lazimnya terdiri daripada negeri-negeri bersekutu yang disatukan di bawah payung kerajaan pusat. Contoh-contoh negara bersekutu yang lain adalah Amerika Syarikat, Australia, Jerman dan India. Dalam negara-negara tersebut, kerajaan negeri mempunyai kuasa autonomi dalam kebanyakan bidang yang melibatkan kehidupan seharian, manakala kerajaan pusat biasanya bertanggungjawab ke atas hal ehwal kenegaraan, perhubungan antarabangsa dan keselamatan luar negeri. Perkongsian kuasa antara kerajaan pusat dan kerajaan negeri dalam sistem persekutuan adalah ditentukan oleh perlembagaan dan tidak boleh ditukar dengan sewenang-wenangnya oleh kerajaan pusat.

Namun begitu, secara realitinya, sistem perundangan, pentadbiran dan fiskal di negara kita tidak mirip langsung dengan negara-negara persekutuan yang lain. Tadbir urus negara kita dalam kebanyakan bidang adalah sangat terpusat, jika tidak lebih terpusat daripada negara-negara kesatuan (unitary). Malah, kemungkinan besar Malaysia merupakan antara negara persekutuan yang paling terpusat di dunia. Contoh paling jelas pemusatan kuasa yang berlebihan di negara kita ini adalah hakikat bahawa perbelanjaan Kerajaan Persekutuan merangkumi lebih daripada 90 peratus daripada semua perbelanjaan kerajaan setiap tahun.

Saya juga pasti bahawa amat sukar untuk mencari sebuah lagi negara persekutuan di mana pengangkutan awam secara keseluruhannya, meskipun di kawasan terpencil, diuruskan sepenuhnya oleh agensi pusat di bawah naungan Jabatan Perdana Menteri. Malah, senario ini adalah sama bagi kebanyakan bidang tadbir urus yang biasanya dikendalikan oleh pihak berkuasa tempatan, seperti perumahan awam, pengurusan sisa pepejal, utiliti, kebajikan sosial dan juga pendidikan.

Walaupun jelas bahawa pemusatan berlebihan boleh menjadi punca kepada ketidakcekapan dalam bidangbidang tertentu, sistem terpusat ada juga manfaatnya. Biasanya, kawalan terpusat ke atas perancangan pembangunan akan memperlihatkan keseimbangan wilayah. Malangnya, Kerajaan Persekutuan tampaknya terlalu taksub dengan konsep pemusatan sehingga pembangunan ekonomi dan infrastruktur menjadi eksklusif tertumpu di Lembah Klang. Hasilnya, banyak bandar-bandar lain yang sebelum ini dinamik seperti Pulau Pinang, Ipoh dan Johor Bahru telah ketinggalan daripada kemajuan.

Dalam konteks ini, adalah menakjubkan bahawa Pulau Pinang dapat mencapai kejayaan selama ini meskipun dihalang oleh struktur yang sangat terpusat ini. Cuba bayangkan bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang beroperasi dengan belanjawan yang lebih kecil daripada perbelanjaan operasi tahunan Universiti Sains Malaysia. Bagi negeri yang menyumbang separuh daripada eksport elektrik dan elektronik Malaysia, satu pertiga daripada eksport pembuatan, dua pertiga daripada pelancongan perubatan dan hampir satu persepuluh daripada KDNK negara, adalah satu skandal besar bahawa Kerajaan Negeri yang dipilih secara demokrasi hanya mampu membelanjakan kurang daripada setengah peratus (0.05%) daripada belanjawan negara.

Lebih teruk lagi apabila kita nasib negeri-negeri yang kaya dengan sumber asli seperti Sabah, Sarawak, Kelantan dan Terengganu. Negeri-negeri ini telah dinafikan pembangunan yang setimpal dengan wilayah-wilayah lain dan kini mempunyai kadar kemiskinan yang tertinggi di negara, walaupun menjadi penyumbang besar hasil negara melalui pengeluaran minyak dan gas.
Maka, atas sebab-sebab ini, Penang Institute senantiasa menggalakkan perbincangan ke arah desentralisasi atau pengagihan kuasa pusat demi membentuk persekutuan yang sebenar. Kami percaya bahawa kuasa tadbir urus yang diagihkan dengan baik mampu memakmurkan demokrasi yang lebih bermakna, menjana pertumbuhan ekonomi yang lebih tinggi serta memupuk pembangunan yang lebih saksama dari segi sosial.

Justeru, satu kajian semula kontrak persekutuan negara kita amat diperlukan, khususnya dalam persekitaran pasca-2008, di mana adalah jelas bahawa pemusatan berlebihan pentadbiran adalah tidak sesuai dengan demokrasi abad ke- 21 yang lebih matang dan rencam serta kebertanggungjawaban dan kecekapan yang diingini oleh rakyat Malaysia.

Oleh itu, Penang Institute telah mengambil kesempatan ini untuk menganjurkan sebuah persidangan pada 15-16 September 2014 dengan tajuk “Persekutuan di Malaysia: Reka Bentuk dan Amalan.” Persidangan ini adalah usaha untuk mengetengahkan pendapat daripada 17 tokoh pemikir dan pakar dalam isu desentralisasi, bagi memperhalusi dua tema yang luas, iaitu desentralisasi dalam domain fungsi terpilih serta hubungan antara kerajaan. Output akhir projek ini pula akan diterbitkan sebagai sebuah buku dengan kerjasama Institut Pengajian Asia Tenggara (ISEAS) di Singapura.