Serambi PI : Kritikan sosial dalam filem P Ramlee

Admin

Oleh: HARIS ZUAN

KOMEDI adalah salah satu tema besar, jika tidak yang paling utama, dalam karya Seniman Agung P Ramlee. Daripada Bujang Lapok (1957) sehinggalah filem terakhirnya, Laksamana Do Re Mi (1972), ramai dalam kalangan kita masih boleh ketawa pada adegan lucu yang sama, meskipun sudah berulang-kali menontonnya.

Walaupun tidak kurang bilangan filem komedi Melayu sekarang yang cuba menyalin kembali lawak-lawak P Ramlee, namun saya pasti kita semua bersetuju bahawa P Ramlee itu tiada galang gantinya.

Malam ini, sempena Festival P Ramlee Pulau Pinang 2014, Penang Institute bangga untuk menganjurkan sebuah lagi Forum Nusantara, yang kali ini bertajuk “Satira Dalam Filem Melayu.” Bagi mewacanakan unsur komedi dalam filem-filem tempatan dan P Ramlee secara khusus, kami telah mendatangkan sebagai panelis tokohtokoh seni tempatan seperti Hassan Mutalib, seorang pensyarah filem di UiTM serta pengasas animasi di Malaysia. Turut serta adalah Disman yang merupakan pengarah teater absurd di Kuala Lumpur, serta Abu Mamu Raja Lawak, iaitu seorang bintang yang tidak asing lagi di Pulau Pinang. Pengerusi forum pada malam ini pula ialah Dr Mahyuddin Ahmad daripada USM.

Kawan-kawan sekalian,

Saya bukanlah orang yang arif untuk membincangkan soal filem tetapi sebagaimana kalian semua, saya adalah peminat filem P Ramlee.

Saya melihat sesuatu yang menarik dalam karya Seniman Agung kita, termasuk filem komedi beliau, adalah kritikan sosial yang tersirat dalam jalan ceritanya. Lihat sahaja kisah dalam Bujang Lapok (1957) yang berlatarbelakangkan zaman selepas perang, dengan suasana mendesak dan perit namun penuh dengan harapan.

Filem tersebut menggambarkan bagaimana terhimpitnya kehidupan selepas perang sehingga ramai yang licik mengambil kesempatan. Dalam satu adegan, watak Ramli telah ditipu setelah meminjamkan RM10 kepada seorang wanita bernama Nani yang kononnya mahu pulang  ke rumah untuk mengambil kad pengenalannya yang tertinggal. Dalam adegan lain, tabiat berjudi seorang bapa hampir mendorong anaknya, Sapiah, untuk membunuh diri. Dalam satu lagi adegan, Ramli sekali lagi kena tipu dengan seorang wanita dan “adik-adiknya” seramai 11 orang sehinggakan Ramlee kehilangan baju dan seluar akibat tidak mampu membayar tauke restoran. Jangan marah.

Namun, P Ramlee tidak pernah menghukum watak-watak yang penuh muslihat ini, malah beliau menzahirkan perasaan simpati terhadap mereka. Barangkali, beliau sedar bahawa orang miskin hanya berbuat jahat apabila kehidupan kian terdesak.

Sebaliknya, P Ramlee tidak begitu baik hati dengan watak yang mewakili golongan kaya dan berkuasa, khususnya apabila mereka menindas si miskin. Sebagai contoh, sementara bapa Sapiah yang giat berjudi itu akhirnya insaf dan meminta maaf dengan anaknya, lintah darat lakonan Shariff Dol yang tergamak mahu memperkosa Sapiah atas ketidakmampuan bapanya untuk membayar hutang judi pula dipukul teruk.

Pun begitu, jangan pula kita lekas terjun kepada kesimpulan bahawa P Ramlee itu seorang yang anti-kelas atasan atau bermusuh dengan orang kaya. Dalam filem yang sama, Bujang Lapok, Ramli akhirnya “kena ekor” apabila menikahi Cik Normah, iaitu seorang tuan rumah yang kaya. Malah, watak Cik Normah dibayangkan sebagai wanita yang terhormat sehingga menjadi perantara bagi membaiki hubungan antara keluarga Zaiton dan Sudin.

Demikianlah, P Ramlee membentangkan kepada kita berkenaan kehidupan selepas perang di saat baru Merdeka – penuh derita tetapi tetap sarat dengan belas kasihan dan harapan. Tambah menarik, kisah mengenai kesusahan hidup diangkat melalui filem komedi yang bersahaja sehingga kita ikut tertawa melupakan keperitan.

Itulah serba sedikit pandangan saya sebagai peminat filem P Ramlee. Sudah tentu, panelis kita pada malam ini akan memberi pengulasan yang lebih mendalam serta perspektif yang lebih menarik untuk diwacanakan bersama. Semoga perbincangan malam ini akan menyumbang kepada usaha untuk membina semula tradisi keintelektualan dan pemikiran kritis dalam kalangan masyarakat kita.

Sekian, terima kasih dan selamat berforum.