Serambi PI: RUU Perbekalan 2017 peringkat jawatankuasa Kementerian Pendidikan Tinggi Pembiayaan pembangunan modal insan

Oleh : ZAIRIL KHIR JOHARI
Ahli Parlimen Bukit Bendera
merangkap Pengarah Eksekutif Penang Institut.

 

Tuan pengerusi,

SAYA ingin membahaskan isu pembangunan modal insan di universiti-universiti awam kita. Antara program-program pembiayaan yang disediakan oleh Kementerian adalah MyBrain15 yang memberi pembiayaan pengajian di peringkat ijazah sarjana dan kedoktoran dalam usaha mencapai sasaran 60,000 pemegang PhD dalam kalangan rakyat Malaysia menjelang tahun 2023. Setakat 30 September, seramai 54,035 pelajar telah dibiayai dengan perbelanjaan RM800 juta.

Pada tahun 2016, Kementerian menyasarkan 20,000 orang penerima biasiswa dengan 15,000 diperuntukkan untuk pelajar sarjana melalui program MyMaster dan 5,000 untuk program MyPhD. Sasaran ini diumumkan sendiri oleh Menteri pada awal tahun ini.[1]

Namun begitu, tampaknya berlaku penangguhan apabila tarikh akhir permohonan MyBrain15 bagi tahun ini telah dilanjutkan tanpa penjelasan dari bulan Mac hingga bulan Mei, dan kemudiannya tiada maklumat lanjut sehingga keputusan permohonan diumumkan, secara kebetulan semalam, setelah pemohon-pemohon menunggu selama enam bulan.

Sehubungan dengan itu, saya harap Kementerian dapat menjelaskan punca kelewatan keputusan permohonan ini serta memberi perangkaan bilangan pelajar yang berjaya. Adakah sasaran 20,000 pelajar telah dicapai dan berapakah yang disasarkan bagi tahun hadapan?

Seterusnya, saya juga ingin tanya sama ada yuran yang sudah dibayar pada awal tahun oleh pelajar yang baru menerima kelulusan ini, sekali dengan elaun mereka, akan ditebus balik. Ini kerana terdapat banyak kekhuatiran dalam kalangan pelajar mengenai perkara ini.

Pada masa yang sama, saya dimaklumkan pembiayaan elaun bulanan bagi pelajar MyPhD telah dikurangkan daripada RM2,300 kepada RM1,800. Dengan kenaikan kos sara hidup yang ketara pada ketika ini, adakah ianya wajar untuk memotong elaun bulanan para akademik kita sebanyak lebih daripada 20 peratus? Usaha mengecapi kelayakan tertinggi dalam bidang akademik ini tidak mudah dan membabitkan pengorbanan masa dan duit yang banyak. Kementerian seharusnya membantu menyenangkan hidup penerima biasiswa dan bukan menyukarkan keadaan mereka.

Saya juga difahamkan, para penerima MyBrain15 yang sedia ada menghadapi masalah apabila pembiayaan yuran bagi pengajian semester 2016/2017 lambat dikreditkan kepada pihak universiti sehingga menyebabkan ada pelajar yang didenda kerana lewat mendaftar. Takkan perkara semudah ini tidak boleh diproses dengan tepat pada waktunya? Apabila pemprosesan lambat dibuat, maka pelajar juga yang terpaksa menanggung natijahnya.

Kelewatan pembayaran elaun sara hidup dan yuran pengajian ini bukan sahaja dihadapi para penerima MyBrain15, malahan juga pelajar biasiswa kita di luar negara. Pada bulan Oktober yang lalu, media melaporkan berlaku kelewatan pembayaran elaun yang telah menjejaskan ramai pelajar kita di luar negara. Selain itu, pelajar tajaan di luar negara juga khabarnya terpaksa berdepan dengan pelbagai pemotongan kemudahan seperti elaun seminar dan sebagainya. Tidakkah tindakan ini akan memberi kesan kepada kualiti pengajian pelajar tajaan kerajaan kita di luar negara? Saya harap Kementerian dapat menjelaskan berapa banyak kemudahan yang dipotong serta pewajarannya.

Pada masa yang sama, saya juga ingin mengetahui berapa ramaikah penerima biasiswa luar negara di bawah Kementerian mengikut pecahan skim, termasuk Skim Latihan Akademik Bumiputera (SLAB) dan Skim Latihan Akademik (SLAI) pada tahun 2016. Berdasarkan statistik bagi tahun 2015,[2] bilangan pelajar tajaan Kementerian ke luar negara telah menjunam sebanyak 40 peratus daripada 26,530 pada tahun 2014 kepada 15,843 pada tahun 2016. Apakah punca kepada pengurangan yang mendadak ini dan adakah jumlah untuk tahun depan akan berkurang lagi?

Skim seperti SLAB dan SLAI adalah penting dalam mengukuhkan kedudukan dan kualiti universiti awam di negara kita agar mencapai sasaran 75 peratus staf akademik dengan kelulusan PhD di universiti penyelidikan dan 60 peratus di universiti bukan penyelidikan yang sepatutnya dicapai pada tahun 2015. Namun, semakan pada statistik terkini[3] hanya menunjukkan
13,925 orang berkelulusan PhD daripada jumlah keseluruhan 31,877 orang staf pada tahun 2015. Meskipun beberapa universiti penyelidikan telah mencapai sasaran 75 peratus, angka keseluruhan sebanyak 40 peratus ini adalah jauh daripada sasaran.

Di samping itu, statistik yang sama juga menunjukkan hanya berlaku penurunan sebanyak 15 peratus bagi pelajar luar negara tajaan persendirian daripada 52,772 orang pada tahun 2014 kepada 44,540 orang pada tahun 2015. Jumlah pelajar tajaan persendirian ini hampir sekali ganda lebih besar berbanding dengan pelajar tajaan kerajaan. Berdasarkan trend semasa ini, adalah dikhuatiri kekurangan ketara pelajar tajaan kerajaan berbanding pelajar tajaan persendirian akan menyumbang kepada ketidakcukupan kepakaran dalam negara, khususnya dalam sektor awam.

Universiti Sains Malaysia

Tuan pengerusi,

SAYA ingin membangkitkan isu mengenai satu-satunya Universiti APEX di negara kita, iaitu Universiti Sains Malaysia (USM). Dalam QS World University Ranking 2016/2017, kedudukan USM telah merosot dari tempat ke-289 ke tempat ke-330. Ini merupakan ranking yang lebih teruk berbanding kedudukannya pada tempat ke-307 pada tahun 2007, iaitu setahun sebelum USM diberi penarafan sebagai Universiti APEX.

Keadaan ini tidak masuk akal, kerana sepatutnya prestasi USM meningkat dan bukan menurun selepas diberi penarafan APEX. Saya telah memasukkan soalan mengenai perkara ini dalam pertanyaan lisan dan mendapat jawapan bahawa penilaian APEX dan ranking adalah dua sistem penilaian yang mempunyai fungsi berbeza. APEX menilai potensi institusi untuk memacu ke arah kecemerlangan manakala ranking menunjukkan keadaan semasa.

Jawapan ini membingungkan saya kerana penarafan APEX telah diberikan pada tahun 2008, iaitu lapan tahun dahulu. Bagaimanakah mungkin dalam tempoh masa lapan tahun ini tidak ada peningkatan yang ketara? Jika USM dikenalpasti sebagai universiti yang berpotensi tinggi, sepatutnya kita boleh melihat peningkatan prestasi dalam masa hampir satu dekad, khususnya apabila Menteri sendiri mengakui bahawa USM telah pun memulakan transformasinya sejak tahun 2001 lagi.

Malah, semasa mengumumkan pemilihan USM sebagai Universiti APEX pada tahun 2008, Menteri pengajian Tinggi pada ketika itumenghebahkan bahawa USM mesti berada dalam kedudukan 100 universiti terbaik dunia dalam masa lima tahun dan mencapai kedudukan 50 universiti terbaik menjelang 2020. Justeru, apakah mungkin USM dapat melakukan lompatan yang begitu mendadak dalam tempoh masa empat tahun dari sekarang sehingga berjaya masuk ke dalam kedudukan 50 universiti terbaik daripada tempat ke-330? Saya tidak yakin bahawa sasaran ini boleh dicapai, apatah lagi apabila peruntukan untuk USM makin dikurangkan daripada RM654 juta pada tahun 2015 kepada RM542 juta pada tahun 2016 dan hanya RM390 juta bagi tahun hadapan.

Pun begitu, jika Menteri mengatakan bahawa APEX dan ranking adalah dua penilaian yang berbeza, saya ingin tahu apakah
indikator penilaian yang digunakan untuk APEX dan adakah indikator yang sama digunakan untuk universiti awam lain.

Akhir sekali, saya ingin tanya sama ada Kementerian berhasrat untuk membangunkan sistem ranking sendiri berdasarkan keperluan konteks negara. Saya rasa amat berguna jika kita mempunyai sistem ranking sendiri bagi memantau prestasi dan kejayaan universiti kita, serta menyediakan pentas persaingan antara universitiuniversiti tempatan atas terma dan syarat yang lebih relevan kepada negara kita.

Saya berharap agar Kementerian dapat mempertimbangkan segala isu yang dibangkitkan dan memberi jawapan yang tuntas dan bernas.

Sekian, terima kasih.