Serambi PI : Selepas SIS, adakah Rukunegara dan Wawasan 2020 akan diharamkan juga?

Oleh: ZAIRIL KHIR JOHARI
Ahli Parlimen Bukit Bendera
merangkap Pengarah
Eksekutif Penang Institiute

TINDAKAN Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) mewartakan fatwa mengharamkan Sisters In Islam (SIS) pada 31 Julai 2014 lalu adalah langkah keterbelakang dan hanya akan merugikan masyarakat Muslim dan rakyat Malaysia secara umumnya.

SIS merupakan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang ditubuhkan oleh sekumpulan wanita Muslim profesional untuk memperjuangkan hak wanita Muslim, khususnya dalam hal ehwal undang-undang keluarga.

Fatwa tersebut dengan jelas menyatakan punca SIS diharamkan adalah kerana berpegang kepada fahaman liberalisme dan pluralisme agama yang dikatakan sebagai sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam. Fatwa yang sama juga menyatakan bahawa mana-mana bahan terbitan yang berunsur pemikiran-pemikiran fahaman liberalisme dan pluralisme agama hendaklah diharamkan dan boleh dirampas. Ekoran pewartaan fatwa tersebut, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) pula dikehendaki menyekat laman-laman sosial yang bertentangan dengan ajaran Islam dan hukum syarak.

Fatwa ini bukan sahaja menghukum SIS sebagai haram, malah juga menyekat kebebasan SIS sebagai pertubuhan untuk menerbitkan sebarang bentuk bacaan bercetak mahupun elektronik.

Sedangkan pada masa yang sama, MAIS langsung tidak mengeluarkan apa-apa kenyataan atau tindakan terhadap NGO yang terbukti melampau seperti Perkasa yang dengan terang-terangan mengugut untuk membakar kitab suci agama lain. Apakah tindakan Perkasa ini Islamik atau sememangnya negara ini punya dua standard yang berbeza?

Haramkah Rukunegara dan Wawasan 2020?

Tindakan MAIS mengharamkan SIS atas alasan liberalisme dan pluralisme agama bukan sahaja mengelirukan umat Islam, malah juga keseluruhan rakyat Malaysia di negara ini.

Ini adalah kerana umum mengetahui asas “ideologi” negara kita – Rukunegara – dengan terang-terangnya menyatakan bahawa negara kita mendukung cita-cita hendak “menjamin satu cara liberal terhadap tradisi-tradisi kebudayaannya yang kaya dan berbagai corak.”

Begitu juga dengan wawasan nasional negara, Wawasan 2020, yang meletakkan cabaran kelimanya sebagai “mewujudkan masyarakat liberal dan bertolak ansur, dengan rakyat Malaysia pelbagai kaum bebas mengamalkan adat, kebudayaan, dan kepercayaan agama mereka….”

Jelas, nilai-nilai liberal dan pluralisme (keadaan masyarakat majmuk yang terdiri daripada pelbagai budaya dan agama) merupakan nilai asas kepada negara kita, dan bukanlah sesuatu yang bertentangan dengan akidah Islam.

Apakah MAIS tidak menyedari akan perkara ini? Dan jika mereka telah menyedarinya, adakah MAIS juga akan mengisytiharkan Rukunegara dan Wawasan 2020 serta pengasasnya, Tun Dr Mahathir, sebagai haram dan menyeleweng daripada ajaran Islam?

Generalisasi adalah tidak adil

Tanpa perlu mempertikaikan MAIS sebagai institusi agama, saya menyeru agar kita mengambil sikap yang betul dalam menangani perbezaan pandangan di negara ini, apatah lagi berhubung dengan permasalahan ideologi.

Liberalisme, sebagaimana istilah lain yang sarat nilai seperti demokrasi, sosialisme, kapitalisme, hak asasi manusia dan sebagainya, sering disalah gunakan di negara kita untuk melabelkan golongan tertentu atas sebab-sebab politik.

Generalisasi ini juga tidak adil bagi SIS yang tidak pernah dipanggil untuk bersemuka dan membela diri sehingga mereka sendiri tidak pasti bahagian mana organisasi atau advokasi mereka yang dikaitkan dengan liberalisme dan pluralisme agama ini.

Oleh itu, hanya kerana kita gagal memahami kerencaman isu dan advokasi yang dibawa SIS dan mana-mana pertubuhan lain, tidak bermakna kita boleh mengecam mereka sebagai sesat dengan sewenang-wenangnya.

Pada masa yang sama, saya juga ingin menyokong usaha SIS untuk membawa perkara ini kepada rujukan kehakiman, dan berharap agar satu keputusan yang bijaksana dapat dicapai bagi memelihara keutuhan kenegaraan kita sebagaimana yang diimpikan oleh pemimpin-pemimpin pengasas negara.