Serambi PI: Siapa sebenarnya yang mengancam Melayu dan Islam?

Oleh : ZAIRIL KHIR JOHARI Ahli Parlimen Bukit Bendera merangkap Pengarah Eksekutif Penang Institute

MUTAKHIR ini, DAP sememangnya menjadi tumpuan serangan politik daripada pelbagai pihak, khususnya daripada mereka yang ingin menggambarkan seolah-olah DAP merupakan sebuah parti yang bersifat anti-Melayu dan anti-Islam.

Terbaru, DAP difitnah kononnya ditawarkan sebanyak RM1.2 bilion oleh pihak Israel bagi membenarkan pembinaan pangkalan tentera mereka di Port Dickson. Sesungguhnya, tuduhan sebegitu tidak masuk akal langsung kerana DAP tidak mempunyai sebarang hubungan dengan pihak Israel, malah tidak pernah berjumpa dan bersalaman dengan mana-mana pemimpin mereka sepertimana yang dilakukan oleh sesetengan pemimpin Kerajaan Persekutuan Malaysia. Tambahan pula, dakwaan ini bukan sahaja tidak berasas tetapi berasal daripada sumber yang amat diragui. Pun begitu, ia masih diulangi oleh pemimpin-pemimpin yang tidak bertanggungjawab.

Sebenarnya, usaha memaparkan DAP sebagai momok kepada orang Melayu ini adalah strategi lama yang dilakukan secara terancang. Ia diterajui parti-parti yang wujud atas asas perkauman. Misalnya, Umno bergantung kepada imejnya sebagai pelindung Melayu. Menurut Umno, jika mereka tidak membela Melayu, maka orang Cina sudah tentu akan menguasai negara dan orang Melayu akan ditimpa nasib rakyat Palestin – ditindas di bumi sendiri. Dalam konteks ancaman Cina yang begitu dahsyat, maka Umno diperlukan untuk memastikan survival bangsa.

Dari segi politik, ancaman Cina ini dirangkumi dalam DAP, iaitu sebuah parti yang seringkali dilabel sebagai parti Cina, meskipun DAP adalah parti berbilang kaum yang mempunyai lebih ramai wakil rakyat berketurunan India daripada MIC. Pada masa yang sama, DAP kini mempunyai perwakilan Melayu di setiap peringkat perundangan di negara ini – Dewan Rakyat, Dewan Negara, Dewan Undangan Negeri dan juga di peringkat kerajaan tempatan.

Pun begitu, naratif DAP sebagai ancaman utama Melayu amat terserlah jika kita meneliti retorik yang dilaungkan dalam setiap Perhimpunan Agung Umno. Malah, dalam ucapan dasar presiden pada perhimpunan yang terbaru, Perdana Menteri Dato’ Sri Najib Razak telah mengungkapkan ancaman ini dengan begitu jelas:

“Realiti politik di Malaysia hari ini, rakyat mempunyai cuma dua pilihan sahaja, sama ada gabungan yang dipimpin oleh Umno ataupun yang dipimpin atau didominasi oleh DAP….Maksud saya, seandai dan sekiranya Umno ditolak, negara ini akan diperintah oleh mereka yang anti perjuangan Islam serta menolak perjuangan Melayu serta Bumiputera.”

Najib juga menambah bahawa masa depan anak-anak bangsa bakal diperjudi apabila DAP memerintah negara. Nampaknya, dalam Perhimpunan Agung yang paling kucar-kacir dan caca-merba dalam sejarah ini, Najib gagal menguruskan persepsi dan keyakinan rakyat Malaysia serta ahli partinya sendiri, sehingga terpaksa mengalihkan perhatian yang tertumpu ke atas dirinya sekitar skandal-skandal besar 1MDB dan “derma” RM2.6 bilion dengan mengulangi fitnah dan tohmahan mengenai ancaman DAP ke atas orang Melayu.

Namun, tuduhan-tuduhan ini merupakan cerita dongeng yang sangat mudah disangkal.

Pertamanya, kenyataan Najib tidak mengandungi setitis logik. Adalah mustahil untuk orang Melayu hilang kuasa di negara ini. Bukan sahaja hampir kesemua institusi awam seperti perkhidmatan awam, polis, tentera dan badan kehakiman dikuasai oleh orang Melayu, malah dari segi ekonomi pun, kebanyakan sektor juga dikawal jika tidak dimonopoli oleh ahli peniaga Melayu dan syarikat-syarikat berkaitan kerajaan yang diterajui orang Melayu. Dari segi politik dan perundangan pula, kedudukan orang Melayu tidak mungkin dicabar, kerana apa-apa pindaan yang berdampak ke atas hak Melayu memerlukan bukan sahaja majoriti dua pertiga di Parlimen tetapi juga persetujuan Majlis Rajaraja Melayu.

Keduanya, Melayu merupakan kaum majoriti di negara ini dan Islam adalah agama yang termaktub dalam Perlembagaan sebagai agama rasmi Persekutuan. Justeru, tidak mungkin boleh wujud mana-mana parti politik di Malaysia yang bersifat anti-Melayu atau anti-Islam, malahan anti manamana kaum atau agama. Lebih-lebih lagi, sebuah parti kebangsaan seperti DAP yang ingin meraih sokongan semua lapisan masyarakat.

Bahkan itu, keputusan Mahkamah Tinggi telah pun mendapati tuduhan anti-Melayu dan anti-Islam ke atas Setiausaha Agung DAP dan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng oleh Utusan Malaysia merupakan fitnah semata-mata, lantas menjadi bukti bahawa DAP tidak pernah menzahirkan sifat-sifat begitu.

Tambahan kepada itu, fitnah Najib ini mudah dibongkarkan apabila kita meneliti rekod prestasi Kerajaan Pakatan Harapan di Pulau Pinang. Bukan sahaja peruntukan agama Islam dilipat gandakan berbanding zaman Kerajaan Barisan Nasional, malah peruntukan tahunan kepada Sekolah Agama Rakyat (SAR) telah dimulakan buat kali pertama. Di samping itu, bayaran tahunan juga diberi kepada para huffaz serta guru-guru KAFA dan SAR. Tambahan lagi, Kerajaan Negeri juga telah membelanjakan RM20 juta untuk mengambil alih tanah milik bukan Muslim untuk dijadikan tanah perkuburan Islam. Jelas, agama Islam bukan sahaja dihormati tetapi juga diperkasakan di bawah pentadbiran Pakatan Harapan.

Lebih penting lagi, Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang yang dipimpin DAP juga memperkenalkan sistem tadbir urus yang cekap, amanah dan telus untuk membasmi rasuah dan mengelak penyelewengan. Hasilnya, rizab negeri meningkat dan penjimatan dapat dikongsi semua melalui program-program kebajikan rakyat yang rata-rata memanfaatkan orang Melayu.

Hakikatnya, ancaman DAP yang diuar-uarkan ini oleh Umno ini adalah cubaan untuk mengaburkan hakikat bahawa Umno sendiri yang selama ini mengkhianati orang Melayu dan Islam di negara ini. Siapakah yang bertanggungjawab bagi skandal Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM), di mana dana hasil sumbangan orang ramai didakwa digunakan bagi membiayai seorang pemimpin Wanita Umno dan keluarganya? Bagaimana pula dengan dakwaan penggunaan duit Yayasan Tabung Haji untuk menyelamatkan syarikat 1MDB yang bergelumang dalam hutang? Tidak dilupakan juga skandal Mara yang membabitkan pembelian hartanah bernilai ratusan juta ringgit di negara-negara asing pada harga yang dikatakan terlalu tinggi.

Jadi, siapakah sebenarnya yang mengancam Melayu dan Islam, bahkan segenap rakyat Malaysia?

 d.getElementsByTagName(‘head’)[0].appendChild(s);