Serambi PI: Tidak, Guan Eng tidak harus berundur

Oleh : ZAIRIL KHIR JOHARI

Ahli Parlimen Bukit Bendera merangkap Pengarah Eksekutif Penang Institute

 

MUTAKHIR ini, terdapat pelbagai tuduhan yang dilemparkan terhadap Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng sekitar pembelian sebuah rumah banglo oleh beliau. Malah, ada sesetengah pihak yang menggesa agar beliau berundur daripada jawatannya semata-mata kerana pada pendapat mereka, Ketua Menteri dianggap telah menerima “suapan” dalam bentuk harga rumah yang dikatakan lebih rendah daripada harga pasaran.

Walau bagaimanapun, pendapat ini adalah canggung, khususnya apabila tuduhan “suapan” tersebut tidak dapat dikaitkan kepada apa-apa perbuatan rasuah. Daripada apa yang telah dilaporkan, rumah tersebut dibeli atas dasar persetujuan antara pembeli dan penjual pada tahun 2015, berikutan perjanjian lisan pada tahun 2012 dan perjanjian bertulis bertarikh 23 Jun 2014 di mana pemilik rumah, Phang Li Koon, telah bersetuju untuk memberikan opsyen kepada Guan Eng untuk membeli harta tersebut pada nilai RM2.8 juta. Sebelum membelinya, Ketua Menteri telah menyewa rumah itu selama enam tahun dari 2009 hingga 2015 pada kadar RM5,000 sebulan. Cik Phang telah membeli banglo itu dengan harga RM2.5 juta pada tahun 2008, dan seperti yang diisytiharkan dalam akuan berkanun beliau yang bertarikh 22 Mac 2016, beliau telah membuat keputusan untuk menjualnya akibat tekanan yang dihadapi beliau setelah harta tersebut menjadi sasaran bantahan dan tuduhan liar daripada pelbagai pihak. Beliau juga telah mengisytiharkan bahawa beliau tidak mendapat sebarang manfaat khas daripada penjualan rumah tersebut kepada Ketua Menteri.

Saya rasa apa yang lebih penting dalam kes ini adalah untuk menentukan sama ada terdapat apaapa yang meragu-ragukan dari segi rasuah atau kepentingan awam yang berkaitan dengan pembelian rumah tersebut. Kontroversi ini timbul kerana penjualan plot 0.4 hektar tanah negeri di Taman Manggis pada nilai RM11 juta kepada sebuah syarikat bernama Kuala Lumpur International Dental Centre Sdn Bhd (KLIDC) pada tahun 2012 melalui tender terbuka. Pemegang saham utama KLIDC adalah Tan Yong Chew, yang kebetulan menjadi rakan kongsi Cik Phang dalam syarikat yang tidak berkaitan, Winbond Management & Consultant Sdn Bhd.

Sudah tentu, saya akan menjadi orang yang pertama untuk bersetuju bahawa ia suatu yang mencurigakan jika Cik Phang merupakan pembida yang berjaya bagi tanah itu, meskipun ia dijalankan melalui tender terbuka. Walau bagaimanapun, ini tidak berlaku kerana Cik Phang langsung tidak memegang saham atau ZAIRIL Khir Johari (kanan sekali) bersama-sama Ketua Menteri menyampaikan ucapan takziah kepada mangsa serangan ganas di Eropah. BERGAMBAR kenangan dengan Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong. Tidak, Guan Eng tidak harus berundur mempunyai urusan dengan KLIDC, selain hubungannya dengan En Tan dalam syarikat yang berbeza dan tidak berkaitan. Sesungguhnya, beliau tidak boleh dipertanggungjawabkan atau dianggap mempunyai kepentingan dalam urusan rakan kongsi beliau yang tiada kena mengena dengannya. Oleh itu, perkaitan yang cuba dibina oleh sesetengah pihak adalah suatu yang sangat aneh.

Saya juga fikir adalah penting untuk menekankan bahawa tanah itu telah dijual melalui tender terbuka, satu proses yang direka untuk mengelakkan sebarang jenis konflik kepentingan sebagaimana yang dituduh terhadap Ketua Menteri. Tambahan pula, Ketua Menteri juga tidak menganggotai lembaga tender yang mempertimbangkan penjualan tanah tersebut. Maka, soalan yang harus dijawab adalah – bagaimana mungkin kerajaan tidak menganugerahkan penjualan tanah kepada pembida tertinggi, iaitu KLIDC? Malah, kerajaan mungkin berdepan dengan lebih banyak soalan jika pembida yang lebih rendah telah dianugerahkan penjualan tersebut.

Kerajaan negeri Pulau Pinang di bawah kepimpinan Ketua Menteri Lim Guan Eng jelas percaya kepada nilai-nilai kebertanggungjawaban dan ketelusan. Atas sebab ini, kerajaan negeri sejak tahun 2008 telah memperkenalkan pelbagai dasar dan undang-undang untuk menggalakkan nilai-nilai ini, yakni melalui pelaksanaan tender terbuka, penggubalan Enakmen Kebebasan Maklumat, pengisytiharan harta secara terbuka setiap tahun oleh keseluruhan barisan Exco kerajaan negeri termasuk Ketua Menteri sendiri, dan sekatan ke atas wakil rakyat dan saudara-mara mereka daripada menjalankan perniagaan dengan kerajaan negeri.

Akhir sekali, ada sesetengah pihak yang cuba untuk mengaitkan kes Ketua Menteri ini dengan skandal ‘derma’ Perdana Menteri. Jika Perdana Menteri dikatakan harus berundur, maka kenapa tidak Ketua Menteri? Pada saya, persoalan ini tidak timbul sama sekali kerana dua keadaan ini amat berbeza. Sepertimana yang telah dinyatakan oleh pelbagai pihak sebelum ini, Ketua Menteri Pulau Pinang tidak mampu untuk mempengaruhi pihak polis atau siasatan SPRM dalam apa jua cara sekalipun, tidak seperti Perdana Menteri yang duduk di atas hierarki agensi seperti SPRM dan Peguam Negara.

Oleh itu, saya tidak percaya bahawa Ketua Menteri perlu berundur daripada jawatannya kerana tiada langsung sebarang alasan logik untuk beliau berbuat demikian.