Serambi PI: Ucapan perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2017 (Bahagian 2) Masalah online grooming yang kian berleluasa

Oleh : ZAIRIL KHIR JOHARI Ahli Parlimen Bukit Bendera merangkap Pengarah Eksekutif Penang Institute

Tuan yang dipertua,

RAMAI di dewan yang mulia ini, apatah lagi rakyat secara umum, amat terkejut ekoran pendedahan kes Richard Huckle pada bulan Jun tahun ini. Huckle yang berusia hanya 28 tahun semasa tangkapannya dua tahun lalu telah dihukum penjara seumur hidup oleh mahkamah di United Kingdom atas 71 sabitan jenayah seksual yang membabitkan seramai 200 kanak-kanak, kebanyakan daripadanya kanakkanak di Malaysia semasa beliau tinggal di negara kita dari tahun 2005 hingga 2006.

Kes yang amat melampau dan menjengkelkan ini telah mengejutkan masyarakat kita dan menimbulkan pelbagai tanda tanya mengenai ketersediaan dan keupayaan agensi penguatkuasa serta rejim undang-undang sedia ada di negara kita untuk menangani masalah jijik jenayah seksual kanak-kanak.

Berkenaan dengan kes Huckle ini, rakyat Malaysia masih lagi tertanya-tanya. Bagaimanakah seorang pemangsa seperti Huckle mampu menganiaya begitu ramai kanak-kanak tanpa ditangkap atau diketahui oleh pihak berkuasa? Susulan daripada itu, apakah status siasatan pihak berkuasa mengenai kes tersebut dan adakah mangsamangsanya sudah dikenal pasti dan diberi bantuan? Lebih penting lagi, apakah langkah-langkah yang telah dan akan diambil untuk memastikan kejadian sedemikian tidak lagi berulang pada masa depan?

Saya harap kita boleh mengambil pengajaran daripada kes ini dan memberi perhatian serius kepada isu jenayah seksual kanak-kanak secara menyeluruh. Kita perlu mencegah bukan sahaja daripada modus operandi yang biasa seperti Huckle, tetapi juga daripada kaedah-kaedah baru berdasarkan teknologi seperti fenomena online grooming yang kian berleluasa.

Sepertimana umum mengetahui, istilah grooming ini merujuk kepada perbuatan orang dewasa yang menjalinkan hubungan rapat dengan kanak – kanak atau keluarganya bagi merendahkan kesekatlakuan (inhibition) kanakkanak tersebut dengan tujuan untuk melakukan hubungan seks . Perbuatan grooming ini juga mampu mengumpan kanak-kanak sehingga dieksploitasi dalam industri pelacuran, pornografi dan penyeludupan manusia.

Dengan perkembangan teknologi seperti media sosial yang langsung menghubungkan sesiapa sahaja yang menggunakan internet, maka perbuatan grooming p u n dimudahcarakan. Pemangsapemangsa menggunakan aplikasi media sosial seperti Facebook, Whatsapp dan sebagainya untuk menghubungi dan berkawan dengan kanak-kanak dan seterusnya memujuk mereka untuk berjumpa dengan tujuan untuk mengambil kesempatan ke atas mereka.

Menurut statistik, perhubungan atas talian melalui aplikasi perbualan, khususnya dengan telefon bimbit, kini merupakan punca utama kes rogol. Ini amat membimbangkan apabila sebilangan besar mangsa rogol merupakan remaja perempuan dalam lingkungan usia 13 hingga 17 tahun. Di United Kingdom, jenayah online grooming ini meningkat sebanyak 32 peratus setiap tahun manakala di Australia ia telah meningkat sebanyak seribu peratus sejak tahun 2008. Di Malaysia masalah ini tidak kurang seriusnya. Sejak tahun 2010, pihak polis telah menerima lebih 400 laporan kes rogol yang berkait dengan internet, dan kebanyakan daripadanya melibatkan kanakkanak bawah umur.[1]

Baru – baru ini, beberapa wartawan dari akhbar The Star telah menyamar sebagai gadis remaja 15 tahun dalam aplikasi perbualan popular. Dalam tempoh masa hanya 30 minit selepas mereka log masuk ke dalam sistem, setiap seorang wartawan telah menerima gangguan seksual daripada 20 orang lelaki dewasa. Eksperimen ini juga mengesahkan bahawa 70 peratus daripada pemangsa akan menggunakan modus operandi grooming, yakni dengan berlaku mesra, mendapatkan kepercayaan mangsa dan seterusnya merendahkan kesekatlakuan seksual mereka.

Yang paling menakutkan sekali, perbuatan online grooming yang membahayakan kanak-kanak kita ini belum lagi ditakrifkan sebagai jenayah di negara kita. Buat masa ini kita hanya mempunyai Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman bagi rogol berkanun dalam seksyen 375 , pengeksploitasian orang bagi tujuan pelacuran dalam seksyen 372B serta menghasut kanak-kanak bawah usia 14 tahun untuk berlaku cabul dalam seksyen  377E . Undang-undang ini ketinggalan zaman dan jelas tidak mampu untuk melindungi anak-anak kita daripada pemangsa yang merayau-rayau dalam alam maya. Keadaan ini langsung tidak memadai dan tidak boleh diterima.

Jelas, kita perlukan undangundang yang benar-benar dapat membendung masalah ini. Ia bukan sahaja harus merangkumi segala aspek dan kaedah grooming, sama ada secara atas talian (online) atau tidak, tetapi juga mengenakan hukuman yang berpatutan kepada pemangsa-pemangsa dewasa. Negara-negara lain yang sudah meluluskan undang-undang antigrooming ini termasuk Singapura, Australia, Canada dan United Kingdom, dengan hukuman penjara antara lima hingga ke 15 tahun terhadap pemangsa.

Pun begitu, undang-undang anti -grooming secara sendiri tidak mencukupi dan perlu dilengkapkan dengan undang-undang lain bagi memberdaya agensi penguatkuasaan dalam pemantauan dan pencegahan jenayah seksual kanak-kanak serta untuk memudahcarakan bantuan dan perlindungan kepada mangsa.

Pada tahun lepas, saya telah membangkitkan dalam dewan yang mulia ini mengenai keperluan untuk mewujudkan daftar pelaku jenayah seksual yang khusus bagi pelaku jenayah seksual kanak-kanak atau pedofil. Tujuannya adalah untuk mengekang pergerakan pedofil daripada kawasan-kawasan berisiko seperti sekolah, pusat asuhan dan taman permainan kanak-kanak, serta melarang mereka daripada pekerjaan dalam persekitaran yang membabitkan kanak-kanak.

Tambahan kepada itu, saya juga menekankan kelompangan undangundang berkaitan pornografi kanakk anak. Seksyen 292 Kanun Keseksaan, umpamanya, hanya merujuk kepada objek lucah secara umum dan tidak mempunyai takrifan dan peruntukan khas untuk pornografi secara amnya dan pornografi kanak-kanak secara khusus. Ini adalah kelemahan yang ketara kerana pornografi merupakan antara faktor utama yang mendorong perbuatan rogol. Bahayanya pula pornografi kanakkanak adalah kerana ia mampu mengaburkan penilaian seseorang dan merendahkan kesekatlakuannya mengenai tingkah laku seksual terhadap kanak-kanak.

Akhir sekali, saya sedia maklum isu jenayah seksual kanak-kanak bukan isu yang mudah ditangani dan melibatkan pelbagai faktor dan pihak berkepentingan. Tambah pula mangsa merupakan kanak-kanak yang tidak dapat mempertahankan diri malah kemungkinan besar tidak memahami apa yang berlaku. Oleh itu, disamping mewujudkan daftar pedofil dan menggubal undang-undang untuk menangani masalah seperti online grooming dan pornografi kanakkanak, kita juga harus meningkatkan kesedaran mengenai isu ini dalam kalangan masyarakat. Kanak-kanak harus diajar agar mereka memahami had hubungan yang selamat manakala ibu bapa, pendidik dan pengasuh harus tahu bagaimana untuk memantau penggunaan teknologi media sosial serta mengenal pasti tanda – tanda penderaan seksual serta faktorfaktor risiko seperti masalah tingkah laku yang dizahirkan oleh kanak-kanak. Pada masa yang sama, agensi penguatkuasaan seperti pihak polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) juga harus diperkasakan dengan sumber dan ilmu teknikal yang mencukupi agar mereka   dapat membendung jenayah-jenayah ini.

Pokoknya, jenayah seksual kanak-kanak ini adalah masalah yang amat bahaya dan perlu diberi perhatian serius. Saya percaya bahawa apa-apa langkah untuk menangani isu ini akan disokong oleh kedua-dua belah dewan, dan saya menggesa agar Kerajaan menyegerakan usaha pembaharuan undang-undang dan pemberdayaan pihak berkuasa bagi menjamin keselamatan anak-anak kita.

Sekian, terima kasih.