Serammbi PI: Masa depan telah tiba

Oleh : ZAIRIL KHIR JOHARI
Ahli Parlimen Bukit
Bendera merangkap
Pengarah Eksekutif
Penang Institute

MASA depan telah tiba, dan kita sedang mengalaminya. Sekiranya anda seperti saya dan membesar pada zaman trilogi Back to the Future, maka tahun ini seharusnya menjadi masa kita menyaksikan kemunculan papan layang (hoverboard) dan kereta yang mampu terbang. Walaupun belum menjadi kenyataan (lagi), kita telah mencapai banyak kemajuan teknologi lain yang tidak mungkin kita bayangkan 20 tahun lalu.

Zaman eksponensial
Kita kini hidup dalam zaman yang tidak pernah disaksikan, di mana perkembangan tidak lagi berlaku secara linear tetapi secara eksponen. Dalam abad ke-20 sahaja, penduduk dunia meningkat daripada 1.65 bilion kepada enam bilion orang. Sekarang, setelah hanya 15 tahun dalam abad ke-21, populasi dunia sudah berjumlah lebih daripada tujuh bilion.

Persekitaran di sekeliling kita, baik alam bina, semula jadi atau sosial, juga telah berubah dengan pesat melalui proses urbanisasi yang kian merebak. Sepanjang sebahagian besar sejarah, manusia lazimnya hidup di luar bandar, bergantung kepada pertanian dan memburu untuk terus hidup. Pada tahun 1800, hanya tiga peratus daripada penduduk dunia tinggal di kawasan bandar. Seratus tahun kemudian, ia meningkat kepada kira-kira 14 peratus, dengan hanya 12 bandar yang mempunyai lebih daripada sejuta penduduk. Pada tahun 1950, angka itu menjadi dua kali ganda. Hari ini, buat kali pertama dalam sejarah, lebih separuh – atau tepatnya 54 peratus – daripada penduduk dunia kini tinggal di kawasan bandar.

Urbanisasi sedang berlaku dengan lebih pesat di negara-negara membangun, khususnya di Asia dan Afrika. Di Malaysia, Rancangan Fizikal Negara menjangkakan bahawa populasi bandar akan mencecah 75 peratus menjelang 2020. Dan seperti kebanyakan negara membangun yang lain, Malaysia juga mempunyai populasi muda yang besar, dengan lebih dua pertiga di bawah umur 40 tahun. Ini adalah satu dinamik penting yang mempunyai kesan besar kepada pembangunan negara.
Sejajar dengan evolusi manusia, teknologi juga telah berkembang pada kadar eksponen. Hukum Moore, sebagai contoh, menjangkakan kuasa komputer akan berganda setiap dua tahun. Perkara ini sememangnya telah dibuktikan dalam beberapa dekad yang lepas, walaupun kini ia diakatan telah mencapai tahap tepu.

Apapun, tidak dapat dinafikan bahawa teknologi telah berkembang dengan pesat. Bayangkan mikrocip dalam kad ucapan yang memainkan muzik apabila dibuka mempunyai kuasa pengkomputeran yang mengatasi keseluruhan Tentera Berikat pada tahun 1945. Telefon mudah alih kita hari ini pula mengandungi teknologi jauh lebih tinggi daripada apa yang digunakan
oleh NASA pada tahun 1969 – iaitu teknologi yang meletakkan manusia di bulan. Malah, kuasa pengkomputeran Playstation terkini jauh melebihi komputer super tentera pada tahun 1997, iaitu kurang 20 tahun yang lalu.

Ekonomi baru
Zaman teknologi kini sudah tentu menyebabkan perubahan besar terhadap cara ekonomi berfungsi. Terdapat pelbagai peluang perkejaan baru yang tidak pernah wujud sebelum ini, yakni pemaju aplikasi, pentadbir media sosial dan juga cybertrooper. Pada masa yang sama, kita juga tidak pernah menyaksikan begitu banyak peluang keusahawanan yang boleh digapai dengan mudahnya.

Ambil sebagai contoh Mark Zuckerberg dan empayar Facebook beliau yang bermula 11 tahun lalu sebagai alat kajian sosial universiti. Hari ini, ia mempunyai modal pasaran sebanyak lebih daripada USD300 billion serta lebih daripada satu bilion pengguna aktif.

Perkhidmatan lain yang berkembang pesat adalah aplikasi WhatsApp yang saya pasti terkandung dalam smartphone kita semua. Dibangunkan tidak lama dahulu pada tahun 2009 oleh dua pemaju perisian, ia kini aplikasi mesej paling popular di dunia dengan pangkalan pengguna sehingga 900 juta, dan telah dibeli oleh Facebook pada tahun lepas pada harga sebanyak USD16 bilion.

Kejayaan Mark Zuckerberg, dua orang pengasas Whatsapp, serta Jack Ma dari Alibaba.com, iaitu portal e-dagang China yang kini bernilai kira-kira USD145 bilion, ekonomi baru ini telah melahirkan kekayaan yang terdahulunya tidak dapat dicapai dalam jangka masa yang begitu pendek. Sebelum ini, ia mengambil masa panjang untuk mencapai tahap bilionaire seperti taikun minyak dan pengusaha industri abad ke- 20. Jutawan teknologi abad ke-21 secara relatifnya muncul dengan pantas.

Menurut Wealth-X dan bancian UBS Billionaire 2014, bilangan bilionaire kian meningkat. Pada tahun 2013, terdapat 2,170 bilionaire. Dalam masa setahun, bilangan ini meningkat sebanyak tujuh peratus kepada 2,325, dengan nilai kolektif sebanyak USD7.3 trillion – hampir separuh KDNK tahunan Amerika Syarikat.

Menariknya, ekonomi baru ini juga telah mengubah dinamik kekayaan global. Laporan Billionaires 2015 oleh UBS dan PwC, sebagai contoh, menyatakan bahawa Asia kini menghasilkan lebih ramai bilionaire baru berbanding Eropah, dan kedua selepas Amerika Syarikat. Malah, laporan yang sama menegaskan bahawa bilionaire baru akan muncul setiap minggu di China.

PERUBAHAN SOSIAL DAN POLITIK

Dunia baru dengan perubahan eksponen ini bukan sahaja membawa khabar gembira. Bersamanya juga muncul pelbagai cabaran besar. Urbanisasi dan pertumbuhan penduduk yang pesat telah menyebabkan masalah keselamatan makanan yang serius. Menurut Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, kira-kira 842 juta atau lebih daripada 10 peratus daripada dunia sedang mengalami kelaparan kronik.

Selain itu, dunia kini turut menghadapi krisis kesenjangan yang tidak pernah dialami sebelum ini. Pada awal tahun ini, Oxfam melaporkan bahawa separuh daripada jumlah kekayaan global dipegang oleh hanya satu peratus penduduk, manakala Credit Suisse mendapati 3.4 bilion orang atau lebih 70 peratus daripada orang dewasa sedunia mempunyai kekayaan kurang daripada USD10,000. Satu bilion orang lagi atau satu perlima penduduk dunia pula mempunyai kekayaan kurang daripada USD100,000.

Baki 383 juta orang dewasa yang mewakili lapan peratus penduduk dunia pula memiliki lebih daripada USD100,000 setiap seorang. Ini termasuk kira-kira 34 juta orang jutawan, yang mana 123,800 daripadanya bernilai lebih daripada USD50 juta. 45,000 individu elit pula mempunyai aset lebih USD100 juta.

Dalam menghadapi kesenjangan yang mencolok ini, teknologi telah bertukar menjadi jambatan sosioekonomi. Jika dahulu mungkin ada yang putus asa dengan monopoli ekonomi golongan elit, hari ini peluang ekonomi telah didemokrasikan oleh teknologi, sehinggakan individu dapat menjadi bilionaire dari rumah mereka sendiri.

Selain menjana kekayaan, teknologi juga telah memudahkan aktivisme sosial dan politik. Pada awal tahun 2011, kematian penjaja Tunisia berusia 26 tahun Mohamed Bouazizi mencetuskan Arab Spring yang membawa kepada tumbangnya diktator di Tunisia, Mesir dan Libya. Sementara itu, di Hong Kong, remaja berusia 18 tahun, Joshua Wong, telah dinamakan sebagai salah satu Remaja Paling Berpengaruh TIME Magazine 2014, ekoran usahanya dalam mengetuai gerakan bantahan sivil terhadap kerajaan China yang gagah.

Dalam kedua-dua kes tersebut, kebangkitan popular, meskipun dengan bentuk dan hasil yang jauh berbeza, tidak hanya diilhamkan tetapi juga sebahagian besarnya didorong oleh anak-anak muda yang merasa tidak berpuas hati dan terpinggir dari sistem. Yang pentingnya, rancangan dan strategi mereka telah dihubung dan dizahirkan melalui teknologi media sosial yang berada di luar jangkauan Big Brother.

Anak muda sebagai agen perubahan

Walaupun teknologi merupakan pemudahcara yang berguna untuk tindakan sosial dan politik, peranan penting anak muda dalam menggerakkan perubahan bukanlah satu fenomena baru. Malah, sejarah di seluruh dunia telah menunjukkan bahawa anak mudalah yang sering mempelopori perubahan sosial dan politik.

Salah satu episod besar dalam sejarah, ialah Revolusi Amerika 1765- 1783, telah dipimpin oleh orang muda. George Washington sendiri berada dalam lingkungan awal 30-an apabila revolusi pertama meletus. Malah, sementara umur purata penandatangan Perisytiharan Kemerdekaan Amerika Syarikat adalah 44 tahun, lebih sedozen daripada mereka yang diamanahkan untuk menandatangani salah satu kenyataan demokratik yang paling terkenal dalam sejarah manusia itu berada di bawah 35 tahun.

Selain George Washington dan sekutunya, banyak revolusi besar yang lain juga dipimpin oleh orang muda. Nelson Mandela hanya 34 tahun ketika beliau menjadi pemimpin gerakan antiapartheid di Afrika Selatan. Aktivis hak sivil Amerika Dr Martin Luther King Jr dan Malcolm X kedua-duanya 39 tahun ketika mati pada kemuncak kepimpinan mereka.

Malah, demikian juga ceritanya untuk Malaysia. Ketika mencapai kemerdekaan pada tahun 1957, purata umur Kabinet Malaysia adalah 43 tahun, dengan Tun Razak sebagai Timbalan Perdana Menteri pada 35 tahun. Walau bagaimanapun, keadaannya sudah jauh berbeza pada hari ini apabila purata umur Kabinet semasa adalah lebih hampir kepada 60 tahun.

Usia kepimpinan negara kita juga tidak mencerminkan demografi rakyat, di mana usia penengah Malaysia adalah 27 tahun. Oleh itu, adalah tidak mengejutkan apabila Pilihan Raya Umum lalu di Malaysia menyaksikan kemenangan undi popular oleh pakatan pembangkang yang menampilkan barisan yang jauh lebih muda.

Carpe Diem
Kita hidup pada zaman serba mungkin. Dengan teknologi sebagai penggerak, cabaran bagi kita adalah bagaimana untuk menjadikan diri kita relevan dalam iklim sosio-politik dan ekonomi yang tidak menentu ini.

Saya percaya bahawa tanggungjawab untuk membentuk masa depan terletak yang paling memahami dunia yang cepat
berubah di sekeliling kita, dan kitalah yang harus menentukan arahnya. Sama seperti revolusioner sejarah, anak mudalah yang mempunyai jiwa, ketabahan dan keberanian untuk mencapai perubahan yang total. Lagipun, idealisme dan ketersediaan untuk berkorban adalah ciri-ciri yang biasanya sukar ditemukan setelah kita kian berusia.

Di seluruh dunia, trend kepimpinan anak muda sekali lagi menjadi jelas. Pada tahun 2010, United Kingdom memilih Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri dan Ketua Pembangkang yang semuanya berusia pada awal 40-an. Malah, saya yakin jika David Cameron, Nick Clegg dan Ed Miliband merupakan rakyat Malaysia pada ketika itu, mereka hanya akan menjadi ketua pemuda parti masing-masing dan bukannya tiga pemimpin yang paling berkuasa di negara mereka.

Malah, sebagai Ahli Parlimen Malaysia paling muda, saya berasa tua setiap kali melawat rakan-rakan saya di Eropah. Padaawal tahun lepas, saya berkenalan dengan seorang menteri dalam kerajaan UK yang lebih muda daripada saya. Sebelum itu, saya telah diperkenalkan kepada Menteri Kewangan Serbia, yang hanya berusia dalam lingkungan 20-an. Di Sweden, Menteri Pendidikan, Menteri Kesihatan dan Menteri Sekolah, tiga portfolio kanan, semuanya lebih muda daripada saya. Di Austria, Menteri Luar Negeri mereka tidak pun sampai 30 tahun.

Oleh itu, saya benar-benar percaya bahawa kita harus merebut peluang untuk menentukan masa depan. Dalam filem Dead Poets Society, istilah carpe diem telah digunakan oleh Robin Williams yang memainkan watak guru Bahasa Inggeris bukan ortodoks untuk menggalakkan murid-muridnya agar tidak takut hidup dan sebaliknya, memberi yang terbaik dan menjadi penentu takdir diri mereka sendiri.

Dalam semangat yang sama, saya merayu kepada semua golongan anak muda hari ini. Carpe diem. Masa depan telah tiba, dan ia berada dalam tangan kita.

 }