Serangan Dr. Mahathir punca nilai ringgit susut tak logik – KM

SEBERANG JAYA – Tak mungkin serangan Tun Dr. Mahathir Mohamad ke atas Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung isu skandal hutang tertunggak 1Malaysian Development Berhad (1MDB) kira-kira RM42 bilion sebagai punca penyusutan berterusan nilai Ringgit Malaysia (RM) kebelakangan ini.

Justeru, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng menganggap dakwaan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan ke atas Mahathir itu adalah tidak logik. “Dulu, 950 Bath (untuk RM100), sekarang tinggal 830 Bath.

“Mengapa kita (Malaysia) pertumbuhan ekonomi 6 peratus, sedangkan ia (ekonomi Thailand) bertumbuhan hanya 1 peratus, tetapi nilai (mata wang) Bath lebih kukuh berbanding kita (Ringgit Malaysia).

“Mengapa…kerana di Thailand tiada skandal 1MDB, tetapi di sini (tanah air) ada ‘1Malaysia Dalam Bahaya,” tegasnya yang juga Ahli Parlimen Bagan semasa berucap pada Majlis Penyampaian Insentif RM300 kepada Pemandu Teksi Kali Ke-6 di sini baru-baru ini.

Pengerusi Gabungan Persatuan Pemandu Teksi dan Kereta Sewa Pulau Pinang (Gabungan), Abd. Malek Darus turut berucap pada majlis tersebut.

Turut hadir, Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow, Phee Boon Poh ( Exco Kebajikan & Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar), Lim Hock Seng (Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Utiliti) dan Sr. Rozali Mohamud (Setiausaha Majlis bagi MPSP).

Dalam perkembangan sama, Guan Eng turut menggesa Kerajaan Pusat supaya tidak menaikkan tol, sebagaimana didedahkan pihak tertentu dalam media elektronik baru-baru ini.

“Kita kena minta Kerajaan Pusat jangan naikkan tol kerana sudah ada GST (Cukai Barangan & Perkhidmatan) dan (kenaikan harga) minyak,” kata beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih.

Difahamkan, seramai 2,627 pemandu teksi bajet, teksi lapangan terbang, teksi eksekutif, teksi mewah, limousin dan kereta sewa yang sah berdaftar menerima RM300 setiap seorang pada majlis berkaitan.

Jumlah tersebut meliputi 1,967 pemandu di bahagian pulau dan Seberang Perai (660) dengan jumlah keseluruhan bernilai RM788,100.

Guan Eng memberitahu bahawa semua penerima dihargai kerana turut dilihat membantu pembangunan sektor perkhidmatan secara tidak langsung, iaitu industri pelancongan negeri.

“Anda semua bukan sahaja duta kecil kepada Kerajaan Negeri, bahkan untuk seluruh rakyat Pulau Pinang,” ujar beliau.

Dalam pada itu, Hishak Sulaiman, 62, melahirkan penghargaan atas komitmen Kerajaan Negeri memberi insentif RM600 dalam dwi majlis tiap-tiap tahun.

“Insentif ini memang membantu meringankan perbelanjaan keluarga para pemandu teksi, (maka) saya harap insentif ini berterusan,” jelas beliau, yang berkerjaya sebagai pemandu teksi sejak 33 tahun lepas kepada Buletin Mutiara selepas majlis penyampaian insentif di sini baru-baru ini.

Nada yang sama turut diluahkan oleh B. Ramadas.

“Insentif ini senantiasa ditunggutunggu oleh kami untuk membaiki teksi serta memperbaharui cukai jalan,” jelasnya, pemandu teksi berpengalaman selama 25 tahun.

Bagi N. Puspanathan, 54, beliau berharap Kerajaan Negeri boleh berunding dengan Kerajaan Pusat melalui Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) berhubung syor pemandu diminta membeli kenderaan baru bagi teksi yang berusia lebih 10 tahun.

“Sudah tiga kali dapat (insentif), saya sangat gembira.

“Tapi, saya berharap Kerajaan Negeri dapat melakukan sesuatu kerana kereta lama kami diminta tukar pada kereta baru, sekarang,” seru beliau.