Shahrizal pertahan gelaran Mr. Penang

Admin

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar: LAW SUUN TING

PANTAI JEREJAK – Shahrizal Shamsuddin, 35, mewakili Grand Fitness Gym berjaya mengenepikan 47 peserta lain apabila muncul juara pada Kejohanan Bina Badan Mr. Penang 2016 di Kompleks Bukit Jambul di sini baru-baru ini.

Kejuaraan tersebut membuktikan bahawa beliau adalah juara bertahan selepas memenangi gelaran tersebut tahun lalu.

Pada saingan tersebut, Shahrizal yang juga johan kategori Light Middle Weight, 75 kilogram (kg) mengenepikan tujuh cabaran lain pada pusingan Juara Antara Juara bagi membolehkan beliau dinobat sebagai Mr. Penang.

Bercakap kepada media, beliau mengakui bahawa agak sukar untuk mempertahankan gelaran dimenangi tahun lalu, berikutan saingan yang amat sengit.

“Saya tidak punyai apa-apa rahsia istimewa, apa yang saya lakukan hanya latihan konsisten selama dua jam sehari, enam hari seminggu,” ujar figura yang juga merupakan seorang jurulatih dan penasihat kecergasan berkaitan baru-baru ini.

Kejuaraan tersebut melayakkan Shahrizal mewakili Pulau Pinang bagi merebut gelaran Mr. Malaysia.

“Tahun lepas, saya mendapat tempat ketiga dalam kejohanan Mr. Malaysia, tahun ini, saya akan cuba yang terbaik, kerana antara cita-cita saya adalah mewakili Malaysia ke peringkat dunia,” ujarnya yang telah terlibat dalam bidang bina badan sejak 15 tahun lalu.

Majlis penyampaian hadiah kejohanan tersebut disempurnakan Jawatankuasa Pengurusan Kompleks Bukit Jambul, Harry Toh. Hadir sama, Timbalan Presiden Pertubuhan Bina Badan Amatur Pulau Pinang (PBBAPP), Tan Chee Kean. Peserta lain yang turut mencatatkan kemenangan berdasarkan kategori masing-masing adalah Ivan Loh Wei Jia (Junior Bawah 70kg), Yeoh Wei Ern (Junior Atas 70kg), Chong Kim Seng (Master), Ong Yin Sane (Fly Weight 55kg), Safian Othman (Bantam Weight 60kg), C. Loganathan (Light Weight 65kg), Muhammad Taufiq Hidayat Azman (Welter Weight 70kg), Shahrizal Shamsuddin (Light Middle Weight 75kg), Chan Kim Cheng (Middle Weight 80kg), Mohd. Miswan Mokti (Light Heavy Weight 85kg).

Kejohanan Mr. Penang 2016 merupakan anjuran PBBAPP bersama-sama Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang (MSNPP), Persekutuan Bina Badan Malaysia (PBBM) dan Maxler (pembekal makanan tambahan).