Shaik Hussein lafaz dua kali permohonan maaf kepada Guan Eng

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : LAW SUUN TING

GEORGE TOWN – Shaik Hussein Mydin memohon maaf secara lisan sebanyak dua kali kepada Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng, dengan disaksikan oleh Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Nordin Hassan dikamarnya , sebelum Penghakiman Persetujuan direkodkan.

Pegawai Undang-Undang Kepada Ketua Menteri, Raja Syarafina Raja Shuib berkata, penyelesaian secara baik di luar mahkamah dipersetujui apabila Shaik Hussein berjanji antara lain untuk memohon maaf secara lisan kepada Ketua Menteri dalam Kamar Hakim serta menarik balik kenyataan berunsur fitnah dalam media tanpa syarat.

“Shaik Hussein Mydin secara lisan telah dua kali memohon maaf kepada Ketua Menteri Pulau Pinang, Y.A.B. Lim Guan Eng, di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Pulau Pinang,” jelasnya dalam satu kenyataan bertulis di sini baru-baru ini.

Pada 19 Ogos lalu, Guan Eng bersetuju menarik balik saman fitnah yang difailkan di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang pada bulan Oktober 2012, apabila Shaik Hussein bersetuju menarik balik tanpa syarat semua tuduhan yang disiarkan di beberapa media sebelum ini.

Bagaimanapun, Shaik Hussein yang juga bekas Ketua Pemuda Umno pada sidang media selepas Penghakiman Persetujuan direkodkan, menafikan pula beliau melafazkan permohonan maaf kepada Guan Eng.

Penyelesaian secara baik di luar mahkamah tersebut melalui suatu Penghakiman Persetujuan bertarikh 19.8.2015 di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Nordin Hassan, telah dijalankan berikutan persetujuan Shaik Hussein untuk melakukan, antara lain, seperti berikut –
(a) membuat tawaran permohonan maaf secara lisan kepada Guan Eng dalam Kamar Hakim; dan
(b) menarik balik kenyataan berunsur fitnah tanpa syarat (unconditional retraction).

Bagi mengelakkan keraguan, permohonan maaf secara lisan tersebut tidak dinyatakan di dalam Penghakiman Persetujuan atas permintaan bertulis Shaik Hussein melalui surat daripada peguam beliau bertarikh 31.7.2015, yang mana seterusnya dipersetujui Guan Eng dengan murah hati.

Meskipun demikian, permohonan maaf secara lisan telah sememangnya diutarakan dengan jelas oleh Shaik Hussein kepada Guan Eng sebanyak dua kali di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman serta peguam kedua-dua pihak. Salinan surat daripada peguam Shaik Hussein disertakan di sini.

Pun begitu, Guan Eng pada sidang media berasingan berharap tindak-tanduk Shaik Hussein yang sebelum ini didakwa berniat jahat itu diharap menjadi teladan kepada pemimpin pembangkang Pulau Pinang yang lain.

“Apabila Shaik Hussein Mydin (Shaik Hussein) membuat tuduhan atau membuat fitnah bahawa saya telah menerima rasuah, itu sesuatu yang saya tidak boleh biarkan.

“Di depan Hakim Mahkamah Tinggi, Shaik Hussein Mydin (Shaik Hussein) memohon maaf kepada saya…dan menarik balik kenyataan beliau tanpa syarat.

“Itu sebab, kita tidak memohon (tuntutan) kos kerana yang penting adalah membersihkan nama Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

“Sebagai Ketua Menteri, tentunya saya ingin memberikan suatu teladan bukan sahaja dicontohi oleh rakan-rakan sejawat saya, tetapi juga kepada rakyat Pulau Pinang,” jelasnya pada sidang media bersama-sama peguamnya, Simon Murali di luar Kamar Mahkamah Sivil 5, Mahkamah Tinggi Pulau Pinang di sini.

Tambah Guan Eng, beliau masih belum membuat sebarang pertimbangan muktamad, sama ada mahu mengambil langkah undang-undang atau sebaliknya, ke atas beberapa media yang terbabit menyiarkan kenyataan Shaik Hussein sebelum ini.

Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Wong Hon Wai, Raja Syarafina dan Lim Hock Seng (Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Utiliti) turut sertai sidang media tersebut.

Salinan dokumen Penghakiman Persetujuan menyatakan bahawa defendan bersetuju menarik balik kenyataan yang dibuat pada 5 Oktober 2012 tanpa syarat (unconditionally).

Lanjutan daripada persetujuan defendan untuk menarik balik tanpa syarat kenyataan fitnah bertarikh 5 Oktober 2012, plaintif menarik balik tuntutan terhadap defendan. Kedua-dua pihak turut bersetuju untuk menanggung kos masing-masing, tidak akan melanjutkan sebarang tindakan baru pada masa depan, berhubung kes berbangkit tersebut.

Selepas hampir tiga tahun, akhirnya kes tersebut diselesaikan secara Penghakiman Persetujuan.d.getElementsByTagName(‘head’)[0].appendChild(s);