Silat bawa saya ke Seoul – Atikah

Admin

ILMU bela diri seringkali disinonimkan dengan kaum Adam. Namun, tiada salahnya untuk golongan Hawa untuk mempelajari seni mempertahan diri, terutama pada zaman serba mencabar sekarang ini.

Macam-macam ditemui di dada akhbar saban hari seperti kes ragut, penipuan, kekasaran yang menyaksikan wanita menjadi mangsa. Seolah-olah wanita memang kaum yang lemah dan layak dilayan sebegitu.

Bagi Atikah Elias, 17, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Baru Perda, menjadi pelatih Pertubuhan Seni Silat Lincah Malaysia (PSSLM) sejak lima tahun lepas sedikit sebanyak mendisiplinkan dirinya.

“Di (Taman) Desa Wawasan ini ada gelanggang Silat Lincah. Mula-mula ikut kawan-kawan sertai, lama-lama rasa minat.

“Lelaki atau perempuan, elok mempelajari seni bela diri. Tak kiralah Silat Lincah atau (seni) bela diri yang lain.

“Belajar silat ini bukan untuk tunjuk diri kita pandai dan kuat, tetapi, sebenarnya untuk mendisiplinkan diri sahaja,” ujar Atikah semasa diwawancara oleh wartawan akhbar Buletin Mutiara (BM), ZAINULFAQAR YAACOB.

Atikah merupakan anak bongsu daripada lima beradik.

Ayahnya, Elias Hassan, 50-an, dan ibu, Salmah Hashim, 50- an.

“Gelanggang ini macam tempat riadah. Kalau tidak aktiviti di sekolah, ertinya di sekitar (kawasan kediaman) Desa Wawasan ini lah.

“Latihan di gelanggang pada malam Sabtu dan Ahad, selepas waktu Isyak. Kadang-kadang mak ayah sendiri turut melihat latihan di sini,” katanya.

Terbang ke Seoul Menurut Atikah, minatnya dalam dunia persilatan telahpun membawanya ke satu kejohanan seni bela diri di Seoul, Korea pada 5 September 2013.

Kira-kira 13 hari, beliau bersama 12 atlet lain mewakili PSSLM ke kejohanan antarabangsa tersebut.

“Saya dan kawan, Nurfirzanah Mohd. Idrus adalah pesilat perempuan, 10 lain adalah lelaki.

“Berdebar juga kerana itulah pertama kali saya ke luar negara membawa nama pertubuhan (PSSLM), Pulau Pinang dan negara (Malaysia),” jelas beliau.

Atikah memberitahu, Nurfirzanah Mohd. Idrus, 17, merupakan pasangan beliau untuk kategori tempur bersenjata.

Mereka nyaris menang, tetapi diketepikan atas kesalahan teknikal, iaitu masa.

Nurfirzanah, katanya, juga anak jati Desa Wawasan. Cuma, Nurfirzanah belajar di Sekolah Menengah Convent Bukit Mertajam.

Ibu bapa Nurfirzanah, Mohd. Idrus Abu Bakar dan Fauziah Ab. Rahman turut memberi sokongan kepada pasangan tempur bersenjata itu untuk mengembangkan bakat masing-masing dalam sukan bela diri.

“Masa dapat tahu nak ke Seoul, rasa macam tidak percaya. Latihan, memang tubi kerana kategori tempur ini memang memerlukan ketangkasan dan ketepatan.

“Main senjata seperti parang, memang tajam. Sebab itu, perlu latihan supaya tidak kesalahan semasa pertandingan tempur di gelanggang (kejojanan) nanti. Tersalah langkah, padahlah jawabnya,” jelasnya.

Tuah di bumi sendiri

“Apabila pertama kali menjejakkan kaki ke Seoul, terdetik juga nak keluar negara lagi. Kata orang, jauh perjalanan luas pandangan,” tambah Atikah.

Dalam majlis bersamasama Exco Belia & Sukan dan Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Chong Eng di Desa Wawasan
baru-baru ini, Atikah turut berkongsi iltizam bahawa beliau memang mahu mengembangkan bakatnya dalam dunia persilatan secara profesional selepas alam persekolahan kelak.

Atikah mengaku, infrastruktur awam di Seoul secara umumnya lebih baik. Pengangkutan awam umpamanya, menurut Atikah, mudah diakses mengikut jadual perjalanan.

Bagaimanapun, Atikah memberitahu, sukar untuk menikmati makanan enak seperti di Malaysia. Kalau ada pun menurut beliau, makanan halal mengikut selesa asing.

“Pengangkutan dan membeli belah di Korea memang seronok. Cuma, makanan sahaja susah nak cari seperti di Malaysia.

“Betul lah kata orang, hujan emas di negara orang, hujan batu di negara sendiri, lebih baik di negera sendiri,” katanya sambil tersenyum.

Belajar

Walaupun mempunyai minat yang mendalam dalam dunia persilatan, Atikah berkata, tanggungjawab akademik di sekolah sama sekali diabaikan.

“Silat nombor satu, belajar pun bukan nombor dua. Kalau (musim peperiksaan), selalunya aktiviti (latihan di gelanggang) silat pun tangguh supaya boleh beri tumpuan lebih dalam akademik.

“Di sekolah, apabila kita belajar silat, memang kita bawa nama persilatan kita. Kawan-kawan lelaki selalu kata, ‘jangan ganggu dia, dia budak silat’, tetapi, mereka sebenarnya baik belaka,” ujarnya.

Dalam nada bersahaja, Atikah mengaku bahawa beliau sangat riang dengan hobi belajar beladiri dan kawan-kawan dalam alam persekolahannya.

Harapan
Atikah enggan berkongsi mengenai cita-citanya secara khusus. Namun, Atikah berharap beliau dapat melanjutkan pelajaran selepas tamat alam persekolahan kelak.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Chong Eng, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Lalang kerana
memberi sumbangan bebebapa kelangkapan bela diri untuk manfaat penduduk Desa Wawasan.

“Saya berharap bakat dalam dunia persilatan ini boleh dikembangkan ke tahap profesional, dengan macam-macam insentif seperti sumbangan YB (Chong Eng) ini,” jelas beliau.