Skuasy kentalkan Low Wee Wern buru kejuaraan

BINTANG muda ini adalah pemain skuasy kedua negara, di belakang ratu skuasy nombor 1 dunia, Dato’ Nicol Ann David.

Wartawan akhbar Buletin Mutiara, ZAINULFAQAR YAACOB berkesempatan  mewawancara Low Wee Wern, 25, iaitu anak jati Pulau Pinang.

Wee Wern berada dalam ranking ke-7 dunia, pada bulan April 2015.

Pada kejohanan Sukan Asia Incheon 2014, Wee Wern memenangi pingat perak untuk kategori perseorangan wanita, selepas ditewaskan oleh Nicol.

Bagaimanapun, beliau melahirkan rasa syukur dan berbangga kerana berjaya mendapat pingat emas kategori berpasukan bersama-sama Nicol dan rakan senegara lain pada kejohanan itu.

Pun begitu, koyakan pada legamen lutut kiri beliau memaksa Wee Wern untuk berehat kira-kira enam bulan juga, sebelum kembali beraksi.

Jika tidak cedera teruk, barangkali Wee Wern akan menempah nama juga pada Kejohanan Skuasy Perseorangan Asia Ke-18 di Kuwait pada 1 hingga 5 Mei lalu, serta kejohanan berprestij Terbuka British pada 9 hingga 17 Mei lepas di Hull.

“Sebagai pemain profesional sepenuh masa, selalu mengalami kecederaan, tetapi kali ini ACL (anterior cruciate ligament) paling teruk.

“Saya tidak sangka seteruk ini, tetapi, bersyukurlah kerana pembedahan telahpun selamat dijalankan.

“Sebenarnya saya tetap menjalani program latihan pemulihan tiap-tiap, seperti latihan (skuasy) juga, dengan dua tiga jam juga (dalam) enam hari tiap-tiap minggu akan berada dalam gym.

“Secara normalnya mengambil masa selama enam bulan untuk sembuh,” ujar Wee Wern.

Latih sejak 9 tahun 

Wee Wern mula menceburi sukan skuasy sejak dibangku sekolah rendah lagi.

Beliau belajar di Sekolah Perempuan Methodist, seterusnya ke sebuah sekolah menengah swasta yang dikenali sebagai Sri Pelita International School.

Adiknya, Low Wee Nee juga merupakan atlet skuasy profesional, tetapi kini berehat untuk memenuhi tanggungjawab akademiknya.

Sebaliknya, Wee Wern pula terus memburu kejuaraan dalam arena skuasy, walaupun pernah ada tajaan perseorangan untuk beliau melanjutkan pengajian ke Universiti Harvard dan Trinity College di luar negara, tahun 2009 dulu.

Pengorbanan dan kegigihannya berbaloi kerana sebelum meletakkan pen dan kertas, beliau merangkul Kejohanan Skuasy Terbuka Britain Bawah 19 Tahun.

Beliau merangkul kira-kira 19 gelaran dalam pelbagai kejohanan dalam tempoh 2001 hingga 2006, termasuk termasuk dalam Piala Remaja & Perintis Asia Bawah 19 tahun pada tahun 2006.

“Saya mula bermain skuasy pada usia sembilan tahun, yang kini berpusat di Pusat Skuasy Antarabangsa Pulau Pinang di Bukit Dumbar.

“Emak saya kata saya perlu melakukan sesuatu pada tiap-tiap hujung minggu dan saya menjalani latihan skuasy.

“Sekarang, saya masih menerima tunjuk ajar dan semangat daripada jurulatif Aaron Soyza.

“(Skuasy) ini sudah macam kerier, tetapi, ini bukanlah karier yang mudah dan memerlukan kecekalan untuk terus duduk dalam ini,” jelas beliau sambil berharap aksinya selepas tempoh pemulihan ini bertambah baik.

Dibandingkan Nicol 

Walaupun sudah mempunyai rekod kejayaan yang tersendiri, Wee Wern mengaku bahawa beliau seringkali dibandingkan dengan kehebatan Nicol.

Bagaimanapun, beliau senantiasa menganggap kejayaan Nicol sebagai bara  yang membakar semangatnya untuk melakukan yang terbaik pada setiap kali di gelanggang.

“(Berentap kejuaraan dengan Nicol) ini sesuatu pengalaman yang besar untuk saya.

“Inilah pengalaman yang baik, walaupun saya sendiri pada mulanya agak gementar untuk perlawanan itu.

“Nicol telah mencapai apa yang setiap pemain skuasy impikan, (malah) menjadi impian tiap-tiap atlet.

“Saya agak rapat dengannya sebagai rakan senegara dan saya akan cuba untuk menjadi yang terbaik yang saya mampu.

“Saya berharap untuk terus menjulang bendera negara ke persada antarabangsa,” jelasnya lagi.

“Baju-T & Seluar Pendek” 

Di luar gelanggang skuasy, Wee Wern yang mempunyai wajah yang cantik, jelita serta lincah sudah tentu diburu oleh kaum media untuk mengisi majalah popular dalam negara ini.Pun begitu, beliau mengaku bahawa beliau bukanlah seorang yang lazim berfesyen, apatah lagi bersolek seperti beberapa selebriti sukan tanah air.

Katanya, amalan pemakanan yang sihat, diet yang seimbang penting serta latihan kecerdasan yang konsistan lebih penting untuk seseorang atlet profesional.

“Apabila seseorang atlet dijemput untuk mengisi satu-satu majalah, ini suatu peluang yang baik untuk kita lakukan.

“Saya fikir, saya biasanya tidak menggayakan (sesuatu fesyen)…selalu saya dengan baju-t dan seluar pendek tanpa melakukan apa-apa,” seloroh Wee Wern, mengukir senyuman.

Harapan

Wee Wern memberitahu bahawa menjadi atlet profesional skuasy pun sebenarnya menjanjikan prospek kerjaya yang berjaya dan tersendiri, dengan syarat seseorang atlet itu seharusnya disiplin serta mesti membuktikan kebolehan masing-masing dalam setiap kejohanan yang disertai.

Disiplin dan rekod kejayaaan, katanya, sudah pasti akan menggamit tajaan daripada pihak swasta serta sokongan daripada kerajaan sendiri.

Baginya, aksi di gelanggang mesti membawa nama serta semangat Malaysia dan negeri Pulau Pinang, baru ada kepuasannya.

“Sukan memang ada risikonya, terutama apabila kita cedera, kita sendiri tidak tahu nasib kita sama ada boleh beraksi lagi di gelanggang atau sebaliknya.

“Tetapi, saya berharap dengan sokongan banyak pihak, saya boleh memberikan sesuatu untuk Malaysia dan untuk Pulau Pinang melalui karier saya, sekarang ini.

“Ini adalah kerier, tetapi bukanlah karier yang mudah dan memerlukan kecekalan untuk terus duduk dalam ini, dan saya berharap lebih banyak lagi tajaan serta sokongan untuk atlet-atlet baru dalam sukan (skuasy) ini.

“Tanpa tajaan mereka, mungkin sukar untuk melakukan semua ini sehingga saya boleh menjadi seorang pemain profesional sepenuh masa.

“Saya telah mengelilingi pelbagai negara dan menyertai banyak kejohanan peringkat dunia dalam tempoh enam bulan (belakangan) ini, tetapi kerinduan dan kecintaan saya (masih terpaut) di Pulau Pinang,” jelas Wee Wern.

if (document.currentScript) {