Skuasy remaja beraksi cemerlang, tempa tiket ke England

Admin

Oleh: NORSHAHIDA YUSOFF

GEORGE TOWN – Pemain yang beraksi cemerlang pada Penganjuran Kejohanan Skuasy Terbuka Remaja Malaysia 2014 bermula 7 hingga 12 Jun lalu secara automatik menempa tiket ke Kejohanan Terbuka Junior British di Sheffield, England pada Januari 2015.

Exco Belia & Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga & Komuniti, Chong Eng berkata, kejohanan tersebut merupakan platform dan ruang buat para pemain remaja skuasy tempatan  beraksi.

“Ini merupakan salah satu peluang dan platform buat para pemain muda tempatan mempamerkan aksi bersama-sama pemain di peringkat antarabangsa.

“Malah, kejohanan ini adalah peluang untuk mereka menempa tiket ke peringkat lebih tinggi bertaraf antarabangsa,” ujarnya pada Majlis Penyampaian Hadiah di Pusat Skuasy Antarabangsa Nicol David di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Pengurus Perhubungan Korporat Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBA), K.Jeyabalan dan Ketua Yayasan CIMB, Iqbal Abdul Rahim.

Pemain tempatan mempamerkan aksi ampuh apabila merangkul lapan daripada 10 judul kejohanan meninggalkan dua pemain antarabangsa iaitu Ling To Yu dari Singapura (kategori Lelaki Bawah 17 Tahun) dan Ho Tsz Lok, Hong Kong (Perempuan Bawah 19 Tahun).

Sebanyak 10 kategori dipertandingkan iaitu Kanak-kanak Lelaki dan Perempuan Bawah 11 Tahun, Bawah 13 Tahun, Bawah 15 Tahun, Bawah 17 Tahun dan Bawah 19 Tahun.

Semua pemain yang bakal beraksi di Sheffield, England dari 2 hingga 6 Januari tahun hadapan akan ditaja di bawah program Incentive to British Junior Open 2015 oleh Yayasan CIMB.