Sokong karya seni anak tempatan, jadikan PP destinasi penggembaraan filem

Teks & Gambar : AINUL WARDAH SOHILLI

GEORGE TOWN – Ahli Parlimen Bukit Bendera, Zairil Khir Johari menyeru agar seluruh rakyat Malaysia menyokong hasil karya seni anak-anak tempatan dalam usaha memartabatkan sentuhan seni negara ini.

Menurutnya, bakat-bakat tempatan juga mampu mencipta kejayaan bukan sahaja di tanah air bahkan di persada antarabangsa.

Oleh demikian, katanya, Kerajaan Negeri sedaya upaya memberi galakan dan sokongan supaya bakat-bakat tempatan yang dilahirkan tidak disiasiakan, sebaliknya membantu merancakkan lagi perkembangan industri seni tanah air.

“Hakikatnya, banyak karya seni keluaran tempatan jauh lebih baik berbanding luar negara, tetapi disebabkan sikap segelintir rakyat Malaysia yang sering menyanjung karya luar negara menyebabkan bakat-bakat tempatan yang berpotensi besar terkubur begitu sahaja,” ujarnya pada sidang media khas mempromosikan filem Lurking Woods, sebuah filem hasil terbitan anak jati Pulau Pinang.

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Mohd. Rashid Hasnon, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kebun Bunga, Cheah Kah Peng, penerbit filem Lurking Woods, Rod Manikam, penolong penerbit, Darryl Westrup dan pengarah filem, Rizal Halim.

Menurut Zairil, dalam usaha memartabatkan industri perfileman tempatan dan mempromosikan Pulau Pinang sebagai destinasi penggambaran filem, sebuah Jawatankuasa Filem Negeri Pulau Pinang telah ditubuhkan awal tahun ini.

“Jawatankuasa ini sedia membantu anak-anak jati Pulau Pinang dan artis-artis tempatan untuk mempromosikan hasil karya mereka selain membantu artis serta penerbit dari dalam dan luar negara untuk membuat penggambaran di Pulau Pinang.

“Sebelum inipun, 20 hingga 30 buah filem termasuk drama bersiri menjalankan penggambaran di Pulau Pinang, antaranya, drama bersiri Indian Summers yang akan menyambung penggambaran mereka untuk lima musim lagi di Bukit Bendera,” ujarnya yang berharap lebih ramai lagi dalam kalangan anak seni kembali ke Pulau Pinang untuk bergiat dalam penerbitan filem-filem tempatan.

Dalam pada itu, Kah Peng melahirkan rasa teruja apabila lebih banyak produksi filem dan drama dari luar negara memilih Pulau Pinang sebagai destinasi penggambaran, antaranya, produksi dari Singapura, Indonesia, Taiwan dan Great Britain.

“Inilah kekuatan Pulau Pinang yang menjadi kebanggaan semua, bangunan– bangunan dan seni bina zaman kolonial masih indah terpelihara dengan suasananya dan pertembungan pelbagai kebudayaan melahirkan sesuatu yang unik serta harmoni yang mungkin tidak dapat dinikmati di mana-mana dalam negara,” katanya selaku Pengerusi Jawatankuasa Filem Negeri Pulau Pinang.

Filem Lurking Woods bakal dipertontonkan di pawagam-pawagam terpilih mulai Oktober ini dan ia merupakan sebuah filem terbitan Rodman Pictures Pty. Ltd. yang menggunakan khidmat pelakon serta krew produksi 100 peratus dari Australia. Menariknya, filem tersebut diarahkan sepenuhnya oleh anak  tempatan, Rizal, yang pernah membintangi filem Waris Jari Hantu dan DIA.if (document.currentScript) {